About Me

My photo
~jangan hanya mencari kesalahan yang ada kerana sebanyak mana kesalahan yang kita cari sebanyak itu yang akan kita terima, terimalah seadanya..pasti ada hikmah disebaliknya by mariyah al qibtiyya~

Wednesday, December 21, 2011

seindah Ayeshah!

Sepanjang perjalanan yang mengambil masa berjam- jam lamanya itu membuatkan fikirannya terus- menerus membuka kenangan silam - umpama layar perak yang penuh kisah suka duka. Wajah bonda begitu kuat diruang minda sedarnya. Sesekali wajah abang Khairul menjadi bayang- bayang yang suatu masa dahulu menggoncang naluri kewanitaannya.
                ‘Salam bonda! InsyaALLAH jumaat ini, Ayeshah pulang’ begitulah ringkasnya pesanan yang dihantarnya kepada bonda tempoh hari.
                ‘wslm Ayeshah. Alhamdulillah akhirnya kamu mahu menemui bonda. Bonda menanti kepulanganmu, nak’ pesanan ringkas dari bonda cukup membuatkan perasaan bersalahnya semakin menebal.
                Ya, hampir 3 tahun dia meninggalkan bonda. Sepanjang tempoh itu dia jarang sekali menghantar khabar berita buat pelepas rindu bonda. Dia menghukum bonda tanpa sedar. Dia membuang bonda yang saban waktu merinduinya.
                “Maafkan Ayeshah, bonda” matanya berkaca- kaca tatkala menyedari kelancangannya membiarkan bonda menantinya tanpa henti.
                Tepat pukul 4.00 petang, bas ekspress yang dinaikinya selamat tiba ke destinasi yang dituju. Ayeshah segera membimbit beg pakaiannya menuju ke pondok perhentian bas yang kelihatan sibuk dengan pelbagai ragam manusia. Sesekali kehadirannya dikhalayak itu mengundang seribu satu macam jenis pandangan manusia.
                ‘Ya Allah, janganlah Engkau palingkan hatiku jauh dariMu dan janganlah Engkau biarkan aku malu pada pandangan manusia yang tidak mengerti,’ bisik hati Ayeshah penuh pengharapan.
                Pandangan Ayeshah menangkap susuk tubuh wanita dipertengahan usia yang sedang mencari- cari seseorang. Dengan langkah sedikit laju, dihampirinya wanita itu.
                “Assalamualaikum bonda” wanita itu memandangnya dengan pandangan yang sukar ditafsirkan.
                “Waalaikumsalam..” bonda masih dalam kebingungan. Segera dicapainya tangan tua bonda dan diciumnya penuh kasih.
                “Ini Ayeshah, bonda” mendengar saja pengakuan darinya, bonda terus mendakap tubuhnya dengan erat disertai linangan air mata bonda. Ayeshah juga menitiskan air mata kerinduan setelah sekian lama hilang dari hidup bonda.
                “Maaf, bonda tak dapat mengenalimu, nak” bonda memimpinnya meninggalkan perkarangan perhentian itu. Ayeshah hanya tersenyum mendengar kata- kata bonda. Namun senyumannya hilang apabila matanya terpandang wajah yang menjadi penyebab pelariannya selama ini.
******
Hooreyy, abangku akan menamatkan zaman bujangnya hujung bulan ni!
Matanya tertancap pada status yang ditulis Yani melalui ruang social facebook. Jantungnya berdebar kencang. Tidak semena- mena air matanya meluncur laju membasahi pipinya.
                ‘Salam. Kenapa abang tipu Ayeshah?’ pertanyaan itu diutarakannya melalui sms dan tidak sampai beberapa minit, dia mendapat balasannya.
                ‘wslm. Maafkan abang tak sempat beritahu Ayeshah. Bukan niat abang menipu’ jawapan sms itu umpama belati menghiris kalbunya. Hatinya meraung hiba.
                ‘Bukan niat? Diakah punca abang tinggalkan Ayeshah? Apa kurangnya Ayeshah?’
                ‘Kita tak berjodoh. Allah maha mengetahui akan segala sesuatu. Bagi abang, Ayeshah adalah yang terbaik tapi bukan untuk abang. Maafkan abang buat sekian kalinya kerana melukaimu’
                Sentuhan bonda dipundaknya ibarat butang off yang mematikan lamunannya sebentar tadi. Dipandangnya penuh kasih wajah bonda yang semakin dimamah usia. Namun senyuman bonda tetap manis seperti dahulu.
                “Kenapa sejauh ini Ayeshah berubah?” pertanyaan bonda menghenyakkan perasaannya namun dia cuba bersahaja. Dia sudah seringkali ditujah dengan bermacam persoalan seperti itu.
                “Sejauh yang bagaimana, bonda? Ayeshah tetap Ayeshah yang dulu” bonda menggeleng perlahan. Walaupun Ayeshah bukan anak kandungnya, namun kasih sayang pada Ayeshah menyamai bahkan lebih dari seorang ibu.
                “Penampilanmu, nak..adakah bonda yang menyebabkan Ayeshah berubah sebegini rupa?” ada sedikit kekesalan yang tersembunyi disebalik kata- kata lembut bonda. Ayeshah menggenggam erat jemari bonda.
                “Allah penyebab perubahan Ayeshah. Kenapa.. bonda terasa asing ke dengan perubahan ini?” bonda menatap wajah Ayeshah. Dalam diam, dia mengakui wajah itu kelihatan terlalu tenang dan amat menyejukkan mata tuanya.
                “Bonda bersyukur dengan perubahanmu menjadi lebih baik, nak. Cuma bonda sedikit kekok. Janganlah kerana kesedihan lalu, Ayeshah mengasingkan diri dari dunia. Ayeshah masih muda dan kehidupan ini masih panjang, nak” Ayeshah hanya ketawa kecil. Dia tahu bonda seperti yang lain risaukan perubahan yang dilakukannya.
                “Maafkan Ayeshah sekiranya jawapan yang bakal Ayeshah utarakan ini mengguris hati bonda. Ayeshah tak pernah salahkan bonda dengan apa yang berlaku sehingga menyebabkan Ayeshah menghilangkan diri dari hidup bonda. Dalam tempoh itu, Ayeshah cuba menyembuhkan luka di hati. Ternyata godaan syaitan tu terlalu kuat buat Ayeshah sehingga hati Ayeshah menjadi terlalu lemah dan sentiasa berputus asa”
                Bonda tidak dapat menahan rasa sebaknya. Titisan air matanya berjaya memecahkan tembok hati nurani bonda.
                “Hai, nabi katakanlah kepada isteri- isterimu, anak perempuanmu dan isteri- isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai hijab yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.
                Ayeshah hanya ingin mempraktikkan dengan apa yang Allah firmankan melalui ayat 59 surah al ahzab. Kesedihan lalu Ayeshah cuba ubati dengan memperbaiki diri sebaik mungkin kerana Ayeshah sedar ada sesuatu yang ingin Allah tunjukkan pada Ayeshah. Maafkan Ayeshah sekiranya hijab dan niqab ini membuatkan bonda terasa asing. Salahkah Ayeshah sepert ini bonda? Adakah pemakaian niqab dan hijab seperti ini dilarang dalam al-quran?”
                Bonda tidak dapat menahan esakan tangis yang dari tadi tertahan- tahan. Tubuh Ayeshah terus dirangkulnya erat.
                “Maafkan bonda mengesyakimu bukan- bukan, nak. Bonda hanya risau sekiranya perubahanmu ini melencong jauh dari jalanNYA. Maafkan bonda”
                “Ayeshah cuba mentarbiah diri sebaik saidatina Ayeshah, bonda”
******
Pagi itu, hati Ayeshah teruji lagi. Bonda membuka sebuah kisah yang selama ini cuba dihindarinya dari mengetahui walau sedikit. Sepanjang menikmati sarapan pagi, bonda turut menghidangkannya dengan cerita abang Khairul. Baru hari itu, Ayeshah mengetahui siapa sebenarnya wanita yang dikahwini abang Khairul.
                Liana – anak tunggal Haji Ali yang sudah terlalu sebati dengan kehidupan kota. Kelincahan si anak menimbulkan kerisauan Haji Ali lantas menyuarakan hasratnya ingin menyatukan puterinya dengan abang Khairul. Atas desakan dan nasihat arwah ayah, abang Khairul akhirnya akur mengikat tali pertunangan secara senyap dengan Liana tanpa pengetahuan Ayeshah yang dicintainya. Bonda pada waktu itu hanya mendiamkan diri kerana bonda sedar akan keakraban Haji Ali dan arwah ayah.
                Namun, berita pernikahan Liana dan abang Khairul berjaya diketahui Ayeshah melalui laman social facebook apabila adik bongsu abang Khairul, yani menguar- uarkan perkara itu sehingga menyebabkan Ayeshah nekad membawa diri jauh dari keluarga angkatnya terutamanya bonda. Dalam tempoh perkahwinan yang dibina, abang Khairul cuba mengikhlaskan hati menerima Liana sebagai isteri sehinggalah kejadian malang menimpa Liana. Akibat kemalangan jalan raya, Liana disahkan tidak mampu mewariskan zuriat untuk penyeri rumahtangga mereka.
                “Abang Khairul masih menyayangi Ayeshah. Bonda yakin! Sebagai seorang suami, dia berhak menyuntingmu sebagai penyeri hidupnya. Bonda ingin menebus kesilapan arwah ayah yang memutuskan hubungan kalian. Terimalah abang Khairul kembali” Ayeshah cukup terkejut dengan permintaan bonda namun mulutnya terkunci dari meluahkan apa yang dirasakannya. Hati nuraninya memujuknya agar tidak terlalu spontan menjawab permintaan itu – ditakuti mengguris hati bonda.
                Di luar sana, kedengaran suara perempuan sedang memberi salam. Bonda terus menuju ke ruang depan rumah. Ayeshah dengan lemah membasuh tangannya di sinki lalu meninggalkan ruang makan yang dari tadi begitu menghangatkan dirinya.
                “Ayeshah..ini Liana, isteri abang Khairul” bonda memperkenalkan tamu yang hadir secara tiba- tiba di rumah bonda. Akibat permintaan bonda sebentar tadi, Ayeshah seakan diawang- awangan dan sedikit pun tidak berganjak tatkala bonda memperkenalkannya kepada Liana. Namun sebaliknya berlaku. Liana meluru ke arahnya lalu mendakapnya erat.
                “Maafkan Liana kerana menjadi penghalang Ayeshah dan abang Khairul. Sepatutnya abang Khairul bahagia bersama Ayeshah dan sekarang Allah sedang menghukum Liana,” kata Liana apabila pelukannya terlerai.
                “Semua itu dah ditakdirkan Allah. Kita hanya merancang namun ketentuannya milik Allah dan setiap yang berlaku pasti ada kebaikannya, Liana” Ayeshah cuba menghiburkan hati Liana yang turut diserang virus bersalah terhadapnya sama seperti bonda.
                “Demi kasihkan suami, Liana izinkan abang Khairul menyuntingmu Ayeshah. Terimalah abang Khairul kembali ke dalam hidupmu kerana Liana tahu jauh disudut hati abang Khairul masih ada rasa cinta buat Ayeshah” sekali lagi Ayeshah berada dalam dilema. Bonda dan Liana membuat permintaan yang sama.
******
“Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya abang Khairul adalah imam yang Engkau takdirkan buatku menuju ke syurgaMu adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya da seandainya Engkau mengetahui bahawa abang Khairul itu mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya".
                Ayeshah tersengguk- sengguk menahan sebak didada. Pandangannya berkaca- kaca mengharapkan petunjuk Maha Pengasih. Sudah beberapa malam, dia istiqomah dengan solat tahajud dan istikharah di sepertiga malam. Sejak kepulangannya dari rumah bonda yang membawa permintaan cukup besar, Ayeshah sentiasa menghabiskan sisa- sisa malamnya di atas tikar sejadah.
                “Assalamualaikum Ayeshah. Ibu ada khabar buatmu, nak” kedengaran suara ibu dihujung talian.
                “Waalaikumsalam, ibu. Ya.. apa yang ibu nak sampaikan?” Ayeshah melayani panggilan jauh dari ibu sambil membelek- belek fail yang mengandungi surat- menyurat jabatan.
                “Ayeshah kenal tak dengan Muhammad?” pertanyaan ibu membantutkan niatnya untuk terus membelek fail yang berada di hadapan matanya. Fokusnya kini lebih kepada ibu.
                “Muhammad? Yang mana satu ya, ibu. Ayeshah ramai kenalan bernama Muhammad” tiba- tiba dadanya berdegup kencang. Nama Muhammad Ariff bermain dibenaknya namun dia tidak berani bertanyakan nama itu kepada ibu, takut salah orang.
                “Muhammad Ariff bin Tajuddin. Dia rakan satu jabatan dengan Ayeshah, bukan?” spontan jemari Ayeshah kedinginan. Nama itu meniti dibibir ibu.
                “Ya, ibu! Kenapa ibu bertanya tentangnya? Ayeshah tak pernah bercerita mengenainya setakat ini kat ibu” Ayeshah cuba bersahaja mengatur bicara.
                “Dia menghantar pinangan buatmu, nak. Ibu tak kenal siapa dia seperti Ayeshah mengenalinya. Ayah menyuruh ibu bertanyakan soal ini pada Ayeshah kerana pihak mereka sedang menanti jawapan dari Ayeshah”
                ‘Ya Allah..adakah ini rahmatMu buatku?,’ bisik hati Ayeshah penuh keharuan. Ibu dihujung talian dibiarkan sepi tanpa jawapan darinya.
                “Ayeshah.. ibu tak memaksamu menerimanya, nak. Ibu hanya bertanya”
                “Bismillahirrahmanirrahim.. jika ibu dan ayah redha terhadapnya, insyaAllah tiada penolakan dari pihak Ayeshah”
                Muhammad Ariff – wajah tenang anak muda itu menghiasi ruang mata Ayeshah. Hatinya penuh rasa kesyukuran kerana Muhammad Ariff mengakhiri pencarian istikharahnya sejak beberapa malam yang lalu.
                “Asma binti Abu Bakar telah menemui Rasulullah s.a.w dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasulullah s.a.w :wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah didatangi haid tidak boleh menzahirkan anggota badannya kecuali pergelangan tangan dan wajah saja.
                Pada pandanganku sebagai seorang lelaki, kamu sememangnya secantik namamu, Ayeshah. Alangkah indahnya sekiranya kamu mengikuti suruhan baginda Rasulullah s.a.w dengan menutupi kecantikanmu dengan sebaiknya dan aku tidak redha sekiranya keindahanmu menjadi santapan lelaki yang bukan halal buatmu. Jadilah seindah saidatina Ayeshah yang begitu disayangi baginda Rasulullah” masih lagi terngiang- ngiang teguran itu ditelinganya walaupun kejadian itu telah lama berlalu. Ya, teguran itu yang menyedarkannya untuk menjadi seindah saidatina Ayeshah!