About Me

My photo
~jangan hanya mencari kesalahan yang ada kerana sebanyak mana kesalahan yang kita cari sebanyak itu yang akan kita terima, terimalah seadanya..pasti ada hikmah disebaliknya by mariyah al qibtiyya~

Friday, July 15, 2011

WANITA~~antara keindahan dan keburukanmu!

Assalamualaikum wbt..

Sementara mempunyai kelapangan, baiklah kiranya saya menambahkan lagi isi kandungan di dalam blog ni. Sementara ada kesempatan, kita tak tahu bila lagi peluang nak datang, jadi manfaatkanlah masa lapang dengan sebaiknya. Ingat, gunakan masa lapangmu sebelum tiba waktu sibukmu. Memandangkan blog saya ini lebih kepada kewanitaan, maka saya ingin menulis tentang kesilapan- kesilapan yang sering kita lakukan di luar sana sama ada sedar atau tidak.

Pada hari ini, ledakan fesyen semakin kuat. Tidak ketinggalan fesyen bertudung semakin mendapat tempat dihati para muslimah. Itu baik kerana semakin ramai yang ingin bertudung. Namun yang tidak baiknya ialah tudung yang dipakai adalah tidak sesuai untuk keperibadian muslimah. Kenapa saya katakan tidak sesuai? Rata- rata tudung yang dijual pada hari ini diperbuat dari kain yang melekat pada tubuh, pendek sehingga menampakkan bahagian dada, dan terlalu nipis sehingga menzahirkan aurat. Lebih- lebih lagi trend pada hari ini, muslimah kita begitu gemar menampakkan sanggul sehinggakan ada yang sanggup membeli sanggul palsu untuk diperlihatkan ketika memakai tudung. Ada juga yang memakai tudung tapi aurat seperti tangan, bahagian dada dan punggung dibiar terdedah. Aurat wanita itu tidak terhad kepada rambut sahaja bahkan seluruh tubuh badan melainkan tapak tangan dan wajah.

Pergaulan kita semakin luas atas faktor desakan kerjaya dan menuntut ilmu. Tidak salah untuk bergaul dengan berlainan gender. Kita juga akhirnya nanti akan menamatkan zaman bujang dengan menghabiskan sisa kehidupan bersama insan berlainan gender kerana setiap yang diciptakanNya mempunyai pasangan masing- masing. Namun yang menjadi kesalahan apabila pergaulan itu tidak dibatasi dengan ajaran agama. Wanita itu dianugerahkan perasaan malu sehingga rasa malu ini mampu menjadi benteng kepada kemaksiatan dan memelihara martabat wanita. Jika rasa malu ini disemat dalam kehidupan seharian, siapa pun orang- orang disekitar kita mampu mempertahankan hak kita sebagai wanita. Ingatlah wahai wanita sayang, kaum adam itu telah diciptakan dengan keinginan syahwat terhadap wanita. Justeru berhati- hati semasa bergaul dengan mereka kerana suara, gelak tawa, gerak langkah, kemanjaan kita akan menjadi tarikan yang begitu kuat buat mereka.

Islam itu indah dan tak pernah menyusahkan kita dalam mengikuti suruhanNya. Dari segi pakaian, tidak semestinya kita sebagai muslimah tidak boleh berfesyen mengikut peredaran zaman. Cuma kita perlu bijak memilih jenis pakaian yang macam mana untuk menutup keindahan yang Allah kurniakan. Pakaian yang dipakai janganlah dari fabrik ketat, nipis, singkat dan warna mahupun perhiasan yang melampau. Cukuplah sekadar bersederhana mengikut syariat. Sebenarnya tujuan pakaian yang menutup aurat adalah untuk keselamatan kita sebagai seorang wanita selain perbezaan antara muslimah dan non muslim. Tambahan pula, lewat akhir ini pelbagai kejadian buruk yang menimpa kaum wanita. Kita semakin terdedah kepada bahaya dan cara selamat adalah dengan mengenakan pakaian yang bersesuaian agar tidak menarik nafsu kaum lelaki tatkala memandang kita sebaliknya biarlah semakin bercambah keimanannya terhadap yang maha pengasih.

Sedarlah wahai muslimah tersayang, syaitan pernah bersumpah tidak akan pernah putus asa untuk menyesatkan anak adam. Antara rencana jahat syaitan laknatullah itu ialah menjadikan kita, para wanita sebagai anak panah yang tepat mengenai sasarannya iaitu kaum adam. Keindahan dan kecantikan kita ini mampu melebur hancurkan keimanan para lelaki, namun sebaiknya biarlah kelebihan kurniaanNya ini tidak didedahkan selain yang hak untuk kesejahteraan iman bersama. Moga coretan sejenak saya ini memberi manfaat buat kita semua insyaAllah.


No comments: