About Me

My photo
~jangan hanya mencari kesalahan yang ada kerana sebanyak mana kesalahan yang kita cari sebanyak itu yang akan kita terima, terimalah seadanya..pasti ada hikmah disebaliknya by mariyah al qibtiyya~

Wednesday, August 3, 2011

rahmat kasihMU

assalamualaikum wbt..

Ramadhan yang ke-4! Alhamdulillah atas kasih sayangNYA. Mudah- mudahan kita semua sentiasa punya kelapangan dan kekuatan untuk terus beribadah di bulan mulia ini. Terlalu rugi sekiranya ramadhan kita biarkan berlalu tanpa sebarang pengisian ibadah. Jika setiap ganjaran kebaikan yang kita lakukan ini ditunjukkan dengan bentuk material, pasti kalian akan berlumba- lumba tapi sayang hanya mereka yang benar- benar ingin mencari redhaNYA sahaja mengimarahkan bulan barakah ini.


Alhamdulillah walaupun last minute planning, berjaya menunaikan solat terawih di masjid putra dan pertama kali berbuka di masjid. Ya Allah, terasa sebak apabila waktu berbuka bukan saya sendiri menjamah makanan tapi dengan pelbagai bangsa kaum muslimah. Terasa di bumi rantau ini tidak keseorangan. Ajaibnya kali ini, saya tidak mengharapkan makanan yang enak untuk mengisi perut kosong. keinginan untuk makan pelbagai jenis juadah jua tiada terlintas difikiran. Apa yang menjadi keinginan saya hanyalah ingin mengerjakan solat berjemaah. Ya Allah, adakah Engkau telah mencambahkan nikmat kasihMU dihati kecilku ini? Entah kenapa setiap kali melangkah ke masjid, hati seakan ingin menangis, seakan ada sesuatu ingin dikurniakanNYA. Mudah- mudahan kasihNYA buat saya dan kita semua insyaALLAH

"Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang yang tetap mendirikan solat. Ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku"  [ surah Ibrahim : 14:40]


salam ramadhan - hadad alwi ft gita gutawa


Duhai bulan yang mulia, ooh Ramadhan
Salam bagi bulan yang suci
bulan penghapus dosa

Ya Allah jadikan kami
hambaMu yang kau cinta

Bulan yang mulia
bulan Ramadhan namanya
Rindu kita tak terkira
Rindu cinta kasihNya

Lapar, haus melatih kita
Zikir, tarawih, tadarus mulia
Zakat, sedekah untuk yang papa
Tuhan ampunilah hamba

~{}~

Bulan yang mulia
bulan Ramadhan namanya
Rindu kita tak terkira
Rindu cinta kasihNya

[2X:]
Lapar, haus melatih kita
Zikir, tarawih, tadarus mulia
Zakat, sedekah untuk yang papa
Tuhan ampunilah hamba

Zakat Sedekah untuk yang papa
Tuhan ampunilah hamba

Tuesday, August 2, 2011

Anak- anak dan terawih

assalamualaikum wbt..

Apa khabar sahabat sekalian hari ini? Alhamdulillah kita berada dalam ramadhan yang ke3. Perjalanan ibadah kita di bulan mulia masih lagi panjang. Teruskan usaha untuk melipatgandakan ibadah yang membawa pahala yang juga berlipat ganda. Janganlah terlalu dangkal meletakkan dalam fikiran, puasa hanyalah menahan lapar dahaga semata daripada perkara yang membatalkannya tapi turut menahan diri dari kemaksiatan kecil mahupun besar. Janganlah biarkan puasa kita hanya sekadar menahan makan minum, sedangkan nilainya tiada. Kesannya, bulan ibadah akan terus pergi begitu saja tanpa memberi pengajaran buat kita di bulan yang lainnya.

semalam saya baru berpeluang mengerjakan solat terawih. ya Allah, syukur alhamdulillah semalam berimamkan syeikh Jebril yang diterbangkan dari mesir! kekuatan suaranya yang lunak hampir- hampir membuatkan saya menitiskan air mata pada tikar sejadah. terasa ingin menghabiskan 20 rakaat terawih namun adat orang menumpang kenalah ikut kemahuan orang tumpangkan kita. kelihatan ramai yang berebut- rebut datang ke masjid untuk mengerjakan solat terawih, pemandangan yang cukup indah!


Namun dalam keindahan ada juga cacat celanya. ramai kanak- kanak yang dibawa ke masjid oleh ibu bapa masing- masing. bagus, membawa anak kecil ke masjid untuk mendekatkan hati anak- anak dengan rumah Allah. walaupun begitu, kesilapan ibu bapa ialah membiarkan anak- anak kecil ini berkeliaran di dalam masjid sehingga mengganggu kekhusyukan para jemaah. sebaiknya bawalah anak- anak ini bersama- sama mengerjakan solat terawih dan bukannya membiarkan mereka bermain dengan sesuka hati. pendidikan awal di rumah itu penting agar anak- anak tidak terlalu bebas bermain tanpa segan silu di mana sahaja termasuklah masjid.



akhir kalam, marilah kita bersama- sama mengejar pahala berlipat ganda dengan pengabdian di bulan mulia ini. mudah- mudahan sifat mazmumah dapat digantikan dengan mahmudah. sesungguhnya rahmat Allah tak pernah jauh dari kita melainkan kita sendiri yang menjauhkan diri dariNYA. wallahuallam~~

Monday, August 1, 2011

Jangan terlalu berleter..suami tak sayang

assalamualaikum wbt..

alhamdulillah kita menemui hari kedua ramadhan al-mubarakh. Inilah nikmat kurniaanNYA buat kita semua agar mampu mengumpul pahala utk bekalan di akhirat kelak. Alangkah ruginya kita sekiranya tidak pernah memikirkan akan hari pembalasan, tetapi terus- terusan leka dengan nikmat dunia yang hanya sementara. Mudah- mudahan kita antara insan- insan terpilih mendapat rahmat dan kasih sayangNYA.

Wanita dan mulut! Cukup sinonim bukan?! Dalam sebuah rumahtangga itu sendiri pasti akan sunyi tanpa suara seorang wanita seperti masakan kurang bahan rencah. Bebelan dan leteran wanita begitu dekat dihati kita kerana wanita lebih suka bercakap berbanding kaum adam. Namun, jangan letakkan mulut kita ini lebih tinggi dari minda.


wanita jangan terlalu berleter! Tak salah berleter untuk kebaikan anak- anak dan suami. Tapi ada hadnya, jangan jadikan kebiasaan kerana suami khasnya kurang gemar mendengar leteran yang berjela- jela. Suami seorang yang diamanahkan untuk mencari nafkah semestinya penat setelah seharian berkerja, kita sebagai isteri seeloknya elakkan berleter di hadapan suami. Jangan merungut mengenai anak- anak ketika suami penat kerana kesannya, ditakuti rasa kurang senang suami diturunkan kepada anak- anak dengan  memukul atau memarahi anak- anak.

Tiada faedahnya berleter! Wanita selalunya suka meluahkan rasa kurang puas hati melalui kata- kata. Apabila sesuatu yang dilakukan suami kurang disenangi, wanita dengan mudah memperkatakan ketidakpuasannya berkali- kali hingga dianggap meleteri suami. Jangan terlalu meleteri suami kerana kemungkinan akan mencetuskan pergaduhan. Kesannya, sebarang masalah tidak dapat diselesaikan dengan sebaiknya malah cara penyampaian rasa tidak puas juga gagal. Bukankah merugikan?

wanita tersayang sekalian, marilah kita berusaha mengurangkan hobi suka berleter. Jagalah mulut dan tutur kata agar tiada hati yang terguris. Jika kita tidak suka orang meleteri kita, seharusnya kita juga mengelakkan apa yang tidak menjadi kesukaan itu dilakukan terhadap orang lain terutamanya suami. sentiasalah bercakap dengan sopan santun dan berhikmah. InsyaALLAH martabat kita sebagai wanita akan dipandang tinggi dan bukannya diperlekehkan hanya kerana MULUT.

Sunday, July 31, 2011

destinasi sebuah mimpi

assalamualaikum wbt..

sempena bulan ramadhan al mubarakh ni, saya nak post cerpen untuk perkongsian kita pada hari ini. mudah- mudahan membawa pengajaran buat kita semua insyaAllah :)


Jam dipergelangan tangannya tepat pukul 6.00 pagi. Kesejukan pagi menusuk hingga ke tulang hitam. Mujurlah sweater yang dipakai mampu menghangatkan sedikit tubuh kecilnya. Sesekali matanya melilau memerhatikan keadaan sekeliling. Kebimbangan jelas terpamer diwajah manis itu. Sesekali matanya melihat skrin handphone. Tiada sebarang pesanan dari seseorang. Sekali lagi dia mengeluh resah.
                                “Zack dah settle kan semua kat sana. Ni tiket bas pukul 7.00 pagi esok,” kata Zack petang semalam ketika datang menemuinya di hadapan pintu pagar sekolah. Tiket bas ekspress bertukar tangan.
                                “Zack pergi sekali kan?,” tanyanya sayu. Wajah anak muda pertengahan 20-an itu ditatap penuh. Seperti selalu, Zack akan mengukir senyuman terindah buatnya. Senyuman yang membuatkan tidur malamnya terganggu.
                                “Mestilah Zack pergi sama. Jangan takut, Zack faham perasaan Neesa tapi percayalah semua ni untuk kebaikan kita. Sampai bila Neesa nak biar keluarga kongkong hidup Neesa. Lambat- laun Neesa kena hidup berdikari juga,” jawab Zack yang cuba mengukuhkan tekad dihati Aneesa yang kelihatan mudah goyah.
                                “Neesa tak berani, Zack,” keluh Aneesa tunduk melihat rerumput di hujung kaki. Matanya mula digenangi air jernih. Wajah ummi dan walid terbayang satu persatu.
                                “Neesa..” Zack segera menggenggam jemari lembut Aneesa. Tangan kirinya pula menyentuh dagu Aneesa. “..Neesa sayangkan Zack kan?” Aneesa hanya mengangguk.
                                Lagu ‘Kisah hati’ berdendang dari handphone miliknya. Spontan lamunan panjangnya terputus. Dengan hati yang galau segera ditekannya punat jawab panggilan.
                                “Hello, sayang! Dah sampai stesen bas ke?” kedengaran suara Zack dihujung talian.
                                “Dah berkurun duduk kat sini,” jawab Aneesa tanda protes namun disambut dengan deraian tawa oleh Zack. Hatinya bertambah sakit.
                                “Sorry sayang, Zack dah on the way ni. Tadi ada hal sikit. Jap lagi Zack sampai, tunggu tau,” kata Zack sebelum buru- buru memutuskan talian. Aneesa mendengus kasar.
******
“Kota Kinabalu..kota Kinabalu..,” jerit seorang lelaki yang sedang berdiri di hadapan bas ekspress Tung Ma. Para penumpang mula berpusu- pusu menaiki bas ekspress. Ada juga yang sedang menyusun beg masing- masing di ruang penyimpanan barang- barang.
                                Aneesa semakin resah. Sudah beberapa kali dia cuba menghubungi Zack namun tiada sebarang jawapan. Kelibat Zack juga tidak kelihatan.
                                “Kota Kinabalu..Kota Kinabalu..”
                                Dengan hati yang berbelah bahagi, Aneesa melangkah menghampiri bas ekspress Tung Ma. Tiket yang dipegangnya diserahkan kepada konduktor bas sebelum dibenarkan masuk. Aneesa memilih tempat duduk bernombor 2C seperti yang tertera pada tiket bas.
                                ‘Kau takkan tipu aku kan, Zack?,’ desis hati kecilnya yang mula berbelah bahagi untuk mempercayai Zack atau tidak.
                                “Zack sayangkan Neesa. Sampai saja kat KK nanti, Zack dah carikan rumah dan kerja yang sesuai untuk Neesa. Zack akan bertanggungjawab terhadap Neesa” janji manis itu kembali terngiang- ngiang ditelinganya.
                                “Kau jangan jadi gila, Neesa! Camna kau boleh percaya dengan lelaki playboy tu. Nak dikata dia tu berduit, aku tengok asyik melepak je memanjang. Harap muka je handsome” wajah bundar Saidatul terpampang diruang matanya. Teman sebiliknya itu sememangnya tidak menyetujui hubungannya dengan Zack.
                                “Saidatul tu jealous sebenarnya. Dulu dia pernah ada hati kat Zack tapi Zack hanya anggap sebagai kawan biasa. Hati Zack hanya untuk Neesa je” ada saja jawapan- jawapan dari Zack untuk menepis apa jua tentangan dari sebarang pihak terhadap hubungan mereka.
                                “Aku sayangkan kau, Neesa. Aku mohon sangat- sangat agar hati kau terbuka untuk lihat kebenaran. Jangan kecewakan ummi dan walid kau. Ingat dosa dan kemurkaanNYA” itulah kata- kata terakhir dari Saidatul apabila Aneesa berkeputusan untuk memilih Zack dan rela kehilangan persahabatannya dengan Saidatul. Hatinya sudah terlalu termakan pujuk rayu Zack.
                                Aneesa membuang pandangannya ke luar. Kalau diikutkan fikiran warasnya, ingin saja dia keluar dari perut bas itu. Namun, ketakutannya mengawal mindanya. Dia pasti ummi dan walid telah mengetahui berita kehilangannya. Sudah tentu asrama puteri gempar dengan kehilangannya. Walid yang sentiasa tegas dengan anak- anak mungkin sedang menahan marah. Aneesa tidak berani menemui ummi dan walid.
                                ‘Betulkah apa yang aku lakukan ni?” hatinya mula disinggahi pertanyaan. Namun dia hanya mampu berserah apabila perlahan- lahan bas ekspress mula bergerak meninggalkan stesen bas menuju ke destinasi yang hendak dituju.
******
Wajahnya kelihatan muram. Tangan kanannya masih erat menggenggam handphone yang dari tadi sepi. Tiada sebarang berita dari Zack. Ummi dan walid sudah tentu tidak dapat menghubunginya kerana Zack telah menukar nombor yang digunakannya sebelum ini.
                                “Coklat?”
                                Aneesa memandang coklat yang dihulurkan kepadanya. Kemudian pandangannya jatuh kepada wanita muda yang duduk di sebelahnya. Ada senyuman dibibir wanita itu.
                                “Terima kasih” akhirnya dia mengambil pemberian wanita itu walaupun tekaknya seakan tidak mahu menerima sebarang makanan.
                                “Sumayyah..panggil kak Su! Adik..?” ternyata wanita muda itu berminat untuk berbual dengannya. Mungkin kebosanan melayan perjalanan yang panjang.
                                “Qairunnur Aneesa. Panggil Neesa,” jawab Aneesa dengan nada malas. Kondisinya membuatkan dia lebih suka melayan perasaan sendiri.
                                “Cantiknya nama! Seindah orangnya,” puji kak Sumayyah ikhlas. Aneesa hanya tersenyum hambar. Fikirannya melayang entah ke mana.
                                “Anak ummi ni cantik. Aneesa kena bersyukur pada yang esa kerana berikan banyak kelebihan pada Aneesa. Dahlah cantik, cerdik pula tu,” puji ummi suatu masa dulu. Aneesa tersenyum senang.
                                “Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi kan, ummi? Aneesa anak ummi, mestilah cantik macam ummi, betul tak?” ummi terus mendakapnya dengan erat. Terasa hangat kucupan ummi singgah didahinya.
                                Hati Aneesa terganggu dengan kenangan bersama ummi. Kerinduannya tiba- tiba mengusik tangkai hati. Terbayang diruang matanya akan kerisauan ummi, air mata ummi pasti tumpah mengenang kehilangannya.
                                “Dosa walaupun hanya berkata ah kepada ibu. Apatah lagi jika kita telah menyebabkan air mata ibu jatuh kerana penderhakaan yang kita lakukan,” pesanan ustazah Bahiyah terngiang- ngiang, menambahkan lagi rasa bersalah Aneesa.
******
Aneesa mengerang kesakitan. Suasana di sekelilingnya bertukar hingar- bingar. Di sana sini, dia melihat tubuh- tubuh manusia bergelimpangan dipenuhi darah merah. Isak tangisan kedengaran di merata tempat.
                                ‘Apa yang terjadi?,’ soal hatinya musykil melihat situasi yang begitu tragis dipandangannya.
                                Dia perlahan – lahan mengangkat tubuhnya yang terbaring di atas jalan tar. Kakinya melangkah sambil melihat keadaan di sekitar.
                                “Ada yang meninggal ke?,” tanya seorang anggota polis kepada seorang pegawai perubatan yang bertungkus- lumus menyelamatkan mangsa.
                                “Seorang gadis remaja,” jawab pegawai perubatan itu sambil menunjukkan tubuh kaku yang tidak jauh darinya.
                                Entah kenapa Aneesa begitu berminat dengan isi topik perbualan itu. Dengan hati berdebar, dia menghampiri tubuh kaku yang dikatakan sebagai mangsa itu. Dia melutut di sisi tubuh itu sebelum diselaknya kain yang menutupi wajah mangsa.
                                “Ya Allah!!!!” Aneesa menjauhi tubuh kaku itu. Matanya seakan tidak percaya dengan apa yang disaksikannya.
                                “Dah kenal pasti identiti mangsa?,” tanya anggota polis yang berpangkat kepada salah seorang rakan setugasnya.
                                “Qairunnur Aneesa binti Halim”
                                Perbualan singkat dua orang pegawai polis itu membuatkan Aneesa hampir  gila. Dia menangis dengan apa yang berlaku. Dipeluknya tubuh yang mula dihantui ketakutan.
                                “Apabila seseorang anak adam itu meninggal maka terputuslah segala hubungannya di dunia melainkan 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak- anak soleh. Walid harap semua anak- anak walid boleh menjadi anak- anak yang soleh kerana jika semua anak- anak walid soleh, sudah pasti semua keturunan walid juga begitu insyaALLAH” ceramah ringkas walid spontan singgah dimindanya.
                                “Walid..ummi..” Aneesa memeluk kedua belah lututnya sambil menangis ketakutan.
                                “Maafkan Neesa. Neesa berdosa pada ummi, walid. Tolong neesa, ummi..walid”

******
“Neesa..Neesa!”
                                Tubuhnya digoncang kuat. Aneesa membuka kedua belah matanya. Kelihatan wajah kak Sumayyah begitu hampir dengan dirinya. Dengan pantas, dia memalingkan tubuhnya ke bahagian belakang. Kelihatan semua penumpang masih berada di tempat duduk masing- masing. Di bahagian hadapan, driver masih setia memegang stereng bas tanpa sebarang gangguan.
                                “Astaghfirullah hal azim” Aneesa meraup wajahnya yang basah.
                                “Kenapa dik? Bermimpi ya ?,” tanya kak Sumayyah lembut. Bahu Aneesa disentuh perlahan.
                                Wajah manis kak Sumayyah dipandangnya lama. Perlahan- lahan dia mengangguk. Bayangan sebentar tadi masih jelas dimindanya. Hatinya masih lagi digayuti ketakutan.
                                “Mimpi mainan tidur. Jangan ambil pusing sangat,” kata kak Sumayyah dengan senyuman dibibir. Tangan Aneesa digenggam erat.
                                Kejadian ngeri melalui mimpi itu benar- benar mengganggunya kini. Tidak semena- mena, dia tersengguk- sengguk menahan sisa tangisan. Kak Sumayyah risau melihat keadaannya. Segera dipeluknya tubuh Aneesa.
                                “Kenapa Neesa.. ada sesuatu yang menghantui ke?” begitu lembut suara kak Sumayyah dipendengarannya. Belakang tubuhnya turut diusap perlahan- lahan. Namun Aneesa masih lagi melayan isak tangis.


******
Bas ekspress Tung Ma berhenti rehat sebentar di Ranau. Suasana yang sejuk membuatkan semua penumpang turun mencari sesuatu untuk mengalas perut. Kak Sumayyah dan Aneesa juga tidak ketinggalan.  Mereka menuju ke sebuah restoran yang didatangi oleh ramai pengunjung.
                                “Neesa duduk kat sini. Biar akak yang order” kak Sumayyah menarik kerusi untuknya sebelum berlalu pergi.
                                Aneesa masih belum mampu membuka bicara. Mulutnya seakan terkunci. Seribu penyesalan mengasak- ngasak pintu hatinya. Matanya kelihatan membengkak akibat terlalu banyak menangis.
                                “Untuk Neesa” segelas horlicks panas diletakkan di hadapan Aneesa. Sementara kak Sumayyah memilih untuk minum nesscaffe panas. Di hadapan mereka ada sepinggan kuih karipap.
                                “Kak, Neesa mimpi Neesa meninggal,” kata Aneesa perlahan- lahan. Horlicks panas itu baru sekali diteguknya.
                                “Allahu akhbar, hanya mimpi saja dik,” pujuk kak Sumayyah lalu diraihnya tangan Aneesa. Dielusnya perlahan untuk meredakan perasaan gadis muda itu.
                                “Tak kak! Itu bukan sekadar mimpi. Neesa takut, kak. Takut sangat- sangat” mata bundar Aneesa mula digenangi air hangat. Cepat- cepat kak Sumayyah mengesat air mata itu dari terus jatuh membasahi wajah Aneesa.
                                “Istighfar banyak- banyak, dik. Mungkin disebalik mimpi tu ada sesuatu yang Allah nak tunjukkan pada Neesa. Jangan fikir yang bukan- bukan”
                                “Memang ada Allah nak tunjukkan pada Neesa” Aneesa menghela nafas panjang. Pandangannya dilabuhkan sejauh mungkin.
                                “Neesa lari dari rumah kak” kak Sumayyah bulat memandang wajah muda di hadapannya. Perlahan kedengaran kalimah istighfar dimulut kak Sumayyah.
                                “Kenapa buat camni, dik? Neesa nak pergi mana? Ada keluarga tak kat Kota Kinabalu?” bertalu- talu pertanyaan keluar dari mulut kak Sumayyah namun Aneesa hanya menggeleng.
                                “Neesa takut, kak” hanya itu yang mampu diluahkannya. Kak Sumayyah terus meraih tubuh Aneesa.
                                “Kembalilah kepangkuan keluarga. Walau apa pun yang terjadi, air dicincang takkan putus. Neesa masih muda, hidup di luar ni amat bahaya. Jangan terlalu ikut perasaan, darah muda, kelak adik yang menyesal. Kesian pada ibu bapa, Neesa. Tentu dorang sedang risau sekarang ni”
                                Aneesa masih lagi dalam rangkulan kak Sumayyah. Kata- kata kak Sumayyah meresapi segenap mindanya dan menambahkan lagi rasa penyesalannya. Wajah lembut ummi bersilih ganti dengan wajah tegas walid, terbayang di ruang matanya. Terus diambilnya handphone yang diletakkan di dalam saku sweater.
******
Setelah tujuh jam berada dalam perjalanan, akhirnya bas ekspress Tung Ma sampai di destinasi. Semua penumpang berlumba- lumba keluar dari dalam perut bas. Walaupun suasana di perhentian itu lengang namun penjual tiket tidak jemu- jemu menawarkan bas ekspress yang ada. Di sebelah kanan perhentian, bas sewa sedang setia menanti penumpang yang ingin ke destinasi seterusnya  - hanya di sekitar Kota Kinabalu.
                                “Akak hantar Neesa ke airport,” kata kak Sumayyah sambil menarik tangan Aneesa menuju ke sebuah teksi yang sedang menanti.
                                Setelah memberitahu destinasi yang mahu di tuju, teksi itu bergerak pergi meninggalkan perhentian bas. Aneesa masih lagi berdiam diri. Jam tangannya dikerling sejenak. Hatinya bercampur- baur.
                                “InsyaALLAH takde apa- apa yang berlaku” kak Sumayyah cuba menenangkan gundah dihatinya. Aneesa tersenyum pahit.
                                Handphone miliknya itu masih sepi dari sebarang perkhabaran dari Zack. Anak muda itu seakan hilang dari hatinya kini. Ada penyesalan dan kekecewaan yang muncul akibat tindakan Zack yang membiarkannya keseorangan dalam perjalanan menuju ke Kota Kinabalu. Ternyata Saidatul betul. Zack hanyalah lelaki yang tidak berguna, yang gemar bermain kata- kata indah untuk membutakan hati gadis- gadis remaja sepertinya.
                                “Kita dah sampai,” bisik kak Sumayyah.
                                Dengan berat hati, Aneesa mengikuti langkah kaki kak Sumayyah. Kesejukan airport menambahkan lagi kegerunan hatinya. Wajahnya pucat menahan gundah di hati. kak Sumayyah di sebelahnya sentiasa mengukir senyum cuba menghilangkan ketakutannya.
                                “Assalamualaikum” suara yang cukup dikenalinya itu menyapa dari arah belakang.
                                “Waalaikumsalam” kak Sumayyah menyambut salam itu dengan wajah senang. Saling membalas pelukan dengan ummi. Walid hanya memandangnya dengan pandangan yang sukar dimengerti. Aneesa menikus di sisi kak Sumayyah.
******
“Maafkan Neesa, ummi..walid! Neesa berdosa,”luah Aneesa dengan linangan air mata. Tangan ummi diciumnya. Walid hanya membisu di sebelah ummi.
                                “Kenapa Neesa tekad tinggalkan kami? Tahu tak betapa risaunya ummi dan walid? Ummi rasa nak pengsan bila warden call beritahu Neesa hilang dari asrama. Kenapa buat camni, Neesa?” ummi meluahkan kerisauannya dengan nada lembut tapi tegas.
                                “Neesa salah, ummi. Maafkan Neesa”
                                “Siapa budak lelaki tu, Neesa?” tiba- tiba walid mengutarakan soalan. Dipandangnya wajah walid dengan takut- takut.
                                “Zack..lelaki yang walid nampak hari tu,” jawab Aneesa perlahan.
                Masih segar diingatannya kejadian petang itu. Walid menariknya masuk ke dalam kereta ketika menemuinya sedang berdua- duaan dengan Zack di sebuah shopping kompleks. Petang itu juga walid menamparnya buat pertama kali dan mengeluarkan arahan untuk tidak menemui Zack lagi.
                                “Apa keistimewaan budak Zack tu?” walid menghela nafas panjang. Wajahnya keruh. Aneesa terus mendekati walid.
                                “Neesa salah, walid. Maafkan Neesa, Neesa janji takkan buat camni lagi. Walid hukumlah Neesa, Neesa rela” diciumnya tangan walid dengan linangan air mata penyesalan.
                                “Neesa muda lagi. Sepatutnya menghabiskan waktu dengan belajar, bukannya bertindak diluar akal fikiran dengan meninggalkan keluarga. Nasib baik Sumayyah ada, kalau takde..kat mana kami nak cari Neesa? Macam- macam benda buruk boleh jadi,” keluh walid yang begitu menyesal dengan tindakan Aneesa.
                                “Zack kat mana? Macam mana Neesa boleh datang sendiri kat sini?” ummi pula mengajukan pertanyaan.
                                “Zack tak datang seperti yang dia janji. Neesa tak tahu kenapa”
                                “Polis dah tahan dia pagi tadi” Aneesa dan ummi serentak memandang wajah walid. Tangan walid menyentuh pipi Aneesa.
                                “Zack tu bapa ayam. Dah ramai gadis remaja yang dipikatnya dan dijual ke rumah pelacuran. Nasib baik polis berjaya menghidu penyamarannya. Lelaki camtu ke Neesa nak bergantung harap?”
                                Aneesa rasa terpukul dengan kata- kata walid. Tanpa memikirkan mata- mata di sekitarnya, Aneesa terus mendakap tubuh walid. Air matanya tumpah lagi.
                                “Neesa derhaka pada walid dan ummi. Neesa benar- benar menyesal”
                                Walid yang dari tadi menahan kemarahan di hatinya mula terpujuk dengan tangisan Aneesa. Walid pasti Aneesa telah menyesal. Ummi turut menangis melihat kesedihan Aneesa namun jauh disudut hati, ummi bersyukur akhirnya mereka dipertemukan dengan Aneesa.
                                “Neesa jangan buat camni lagi ye, nak” ummi pula memeluknya setelah pelukannya pada walid terlerai. Aneesa hanya mampu mengangguk.
                                Adegan mereka menjadi tatapan mata yang berada di ruang berlepas. Namun Aneesa tidak menghiraukan semua itu. Apa yang penting, dia kembali kepada walid dan ummi. Aneesa memanjatkan rasa syukur kepadaNYA kerana terlepas dari bala yang mungkin dia tidak tahu azabnya. Hatinya terus membuang nama lelaki yang memberinya cinta walaupun hanya sementara. Aneesa menganggap semua itu mimpi buruk malah lebih buruk dari mimpi yang dialaminya dalam perjalanannya tadi.

Thursday, July 28, 2011

HUJAN~ rahmat rezeki atau pembalasanNYA?

assalamualaikum wbt...

Salam jumaat untuk semua! Hujan lebat hari ni. Walaupun basah kuyup, sentiasa bersyukur akan kurnianNYA menurunkan hujan di pagi hari expecially on friday. Jika dulu, pasti mengomel tak puas hati kenapa hujan turun pagi hari? kenapa jalan berlopak? kenapa dan banyak lagi kenapa? Hujan adalah nikmat rezeki dari yang maha esa namun jarang yang mensyukuri. Melalui hujan, Allah swt menurunkan rezeki buat umat manusia. Cuba bayangkan jika hujan tidak turun, kemarau berpanjangan akan terjadi. Semua tanam- tanaman tidak menjadi, bekalan air semulajadi semakin sedikit, tumbuh- tumbuhan yang setia memproses udara bersih untuk kita juga akan mati. Waktu tu, baru nak tercari- cari cara bagaimana nak dapatkan hujan dan cara penyelesaiannya. It's normal for human being right?! Tak pernah rasa puas hati dengan apa yang dikurniakanNYA. Marilah kita semua menadah tangan memohon doa agar DIA sentiasa menyayangi kita, memberikan kita rezeki untuk meneruskan kebajikan dan melindungi kita dari sebarang keburukan duniawi. Apa yang bermain difikiran kala ini, takut sekiranya hujan yang DIA turunkan bukanlah kasih sayangNYA tapi kemurkaanNYA. Itulah satu tanda- tanda akan tibanya hari pembalasan. Wallahuallam~~

Wednesday, July 27, 2011

keburukan terlihat indah

assalamualaikum wbt..

Hari ini, saya dapat jemputan menghadiri seminar untuk setengah hari sahaja. Memandangkan ramai yang pergi menggunakan kenderaan sendiri, driver jabatan pun hanya menghantar kami yang berapa kerat. Tapi bila nak pulang ke pejabat, driver tak nak jemput dah. Kawan semua pakat tak nak datang pejabat, semua nak balik ke rumah. Entah kenapa, hati saya kurang senang. Akhirnya saya minta pendapat seorang sahabat dan dia mencadangkan agar kembali ke pejabat. Moral of the story, adakalanya kita tidak sedar yang kita sebenarnya sedang melakukan keburukan. Disebabkan keseronokan yang menutupi keburukan itu, hati kita turut sama buta melihat. Akibatnya, kita berdosa pada diri sendiri dan pada Allah maha kuasa. Jangan terlalu memandang ringan terhadap perkara remeh kerana remeh temeh ini akan menjadi serius jika terus dilakukan. Seeloknya, dosa kecil perlu dielakkan sama seperti dosa besar kerana ia tetap dalam konteks dosa yang membawa kepada keburukan. Sama halnya juga dalam melakukan sesuatu keburukan dengan niat kebaikan. Itu juga salah kerana matlamat tidak menghalalkan cara. Contohnya kita terpaksa mengambil rasuah untuk menampung kehidupan keluarga. Walaupun nilai rasuah hanya sekadar RM10-RM20, namun keburukannya cukup dahsyat kerana duit itu digunakan untuk membeli makan minum keluarga yang tidak berdosa. Punca pendapatan yang haram boleh mempengaruhi tumbesaran anak- anak. Jangan hanya memandang kepada pendidikan terbaik untuk anak- anak, tapi apa yang paling penting dititik beratkan dalam kehidupan berkerluarga adalah punca pendapatan. Moga kita sentiasa berlapang dada membezakan yang haram dan halal. Wallahu allam~~