About Me

My photo
~jangan hanya mencari kesalahan yang ada kerana sebanyak mana kesalahan yang kita cari sebanyak itu yang akan kita terima, terimalah seadanya..pasti ada hikmah disebaliknya by mariyah al qibtiyya~

Monday, January 9, 2012

::mengapa engkau marah::

Mengapa engkau marah
Adakah belenggu emosi
Emosi tercalar lantas kau mencalari
Emosi cedera lantas kau mencedera

Mengapa engkau marah
Adakah nafasmu tersekat
Kau tak mampu menghirup kesegaran itu
Kau tak mampu merasa keamanan itu

Mengapa engkau marah
Tahukah engkau sedang bermain api
Menyalakan obor mungkin ada eloknya
Membakar sebuah perhubungan apa baiknya

Mengapa engkau marah
Usah ditinggal kalimah agungNYA
Usah didengar bisikan azazil

Mengapa engkau marah
Nasihatku Cuma satu teduhlah hatimu
Jangan dibiar kesakitan itu dan menyakitkan
Nasihatku Cuma satu kita ini makhlukNYA
Siapa pantas layak bersikap marah
Hanya DIA..bukan engkau mahupun aku

Wednesday, December 21, 2011

seindah Ayeshah!

Sepanjang perjalanan yang mengambil masa berjam- jam lamanya itu membuatkan fikirannya terus- menerus membuka kenangan silam - umpama layar perak yang penuh kisah suka duka. Wajah bonda begitu kuat diruang minda sedarnya. Sesekali wajah abang Khairul menjadi bayang- bayang yang suatu masa dahulu menggoncang naluri kewanitaannya.
                ‘Salam bonda! InsyaALLAH jumaat ini, Ayeshah pulang’ begitulah ringkasnya pesanan yang dihantarnya kepada bonda tempoh hari.
                ‘wslm Ayeshah. Alhamdulillah akhirnya kamu mahu menemui bonda. Bonda menanti kepulanganmu, nak’ pesanan ringkas dari bonda cukup membuatkan perasaan bersalahnya semakin menebal.
                Ya, hampir 3 tahun dia meninggalkan bonda. Sepanjang tempoh itu dia jarang sekali menghantar khabar berita buat pelepas rindu bonda. Dia menghukum bonda tanpa sedar. Dia membuang bonda yang saban waktu merinduinya.
                “Maafkan Ayeshah, bonda” matanya berkaca- kaca tatkala menyedari kelancangannya membiarkan bonda menantinya tanpa henti.
                Tepat pukul 4.00 petang, bas ekspress yang dinaikinya selamat tiba ke destinasi yang dituju. Ayeshah segera membimbit beg pakaiannya menuju ke pondok perhentian bas yang kelihatan sibuk dengan pelbagai ragam manusia. Sesekali kehadirannya dikhalayak itu mengundang seribu satu macam jenis pandangan manusia.
                ‘Ya Allah, janganlah Engkau palingkan hatiku jauh dariMu dan janganlah Engkau biarkan aku malu pada pandangan manusia yang tidak mengerti,’ bisik hati Ayeshah penuh pengharapan.
                Pandangan Ayeshah menangkap susuk tubuh wanita dipertengahan usia yang sedang mencari- cari seseorang. Dengan langkah sedikit laju, dihampirinya wanita itu.
                “Assalamualaikum bonda” wanita itu memandangnya dengan pandangan yang sukar ditafsirkan.
                “Waalaikumsalam..” bonda masih dalam kebingungan. Segera dicapainya tangan tua bonda dan diciumnya penuh kasih.
                “Ini Ayeshah, bonda” mendengar saja pengakuan darinya, bonda terus mendakap tubuhnya dengan erat disertai linangan air mata bonda. Ayeshah juga menitiskan air mata kerinduan setelah sekian lama hilang dari hidup bonda.
                “Maaf, bonda tak dapat mengenalimu, nak” bonda memimpinnya meninggalkan perkarangan perhentian itu. Ayeshah hanya tersenyum mendengar kata- kata bonda. Namun senyumannya hilang apabila matanya terpandang wajah yang menjadi penyebab pelariannya selama ini.
******
Hooreyy, abangku akan menamatkan zaman bujangnya hujung bulan ni!
Matanya tertancap pada status yang ditulis Yani melalui ruang social facebook. Jantungnya berdebar kencang. Tidak semena- mena air matanya meluncur laju membasahi pipinya.
                ‘Salam. Kenapa abang tipu Ayeshah?’ pertanyaan itu diutarakannya melalui sms dan tidak sampai beberapa minit, dia mendapat balasannya.
                ‘wslm. Maafkan abang tak sempat beritahu Ayeshah. Bukan niat abang menipu’ jawapan sms itu umpama belati menghiris kalbunya. Hatinya meraung hiba.
                ‘Bukan niat? Diakah punca abang tinggalkan Ayeshah? Apa kurangnya Ayeshah?’
                ‘Kita tak berjodoh. Allah maha mengetahui akan segala sesuatu. Bagi abang, Ayeshah adalah yang terbaik tapi bukan untuk abang. Maafkan abang buat sekian kalinya kerana melukaimu’
                Sentuhan bonda dipundaknya ibarat butang off yang mematikan lamunannya sebentar tadi. Dipandangnya penuh kasih wajah bonda yang semakin dimamah usia. Namun senyuman bonda tetap manis seperti dahulu.
                “Kenapa sejauh ini Ayeshah berubah?” pertanyaan bonda menghenyakkan perasaannya namun dia cuba bersahaja. Dia sudah seringkali ditujah dengan bermacam persoalan seperti itu.
                “Sejauh yang bagaimana, bonda? Ayeshah tetap Ayeshah yang dulu” bonda menggeleng perlahan. Walaupun Ayeshah bukan anak kandungnya, namun kasih sayang pada Ayeshah menyamai bahkan lebih dari seorang ibu.
                “Penampilanmu, nak..adakah bonda yang menyebabkan Ayeshah berubah sebegini rupa?” ada sedikit kekesalan yang tersembunyi disebalik kata- kata lembut bonda. Ayeshah menggenggam erat jemari bonda.
                “Allah penyebab perubahan Ayeshah. Kenapa.. bonda terasa asing ke dengan perubahan ini?” bonda menatap wajah Ayeshah. Dalam diam, dia mengakui wajah itu kelihatan terlalu tenang dan amat menyejukkan mata tuanya.
                “Bonda bersyukur dengan perubahanmu menjadi lebih baik, nak. Cuma bonda sedikit kekok. Janganlah kerana kesedihan lalu, Ayeshah mengasingkan diri dari dunia. Ayeshah masih muda dan kehidupan ini masih panjang, nak” Ayeshah hanya ketawa kecil. Dia tahu bonda seperti yang lain risaukan perubahan yang dilakukannya.
                “Maafkan Ayeshah sekiranya jawapan yang bakal Ayeshah utarakan ini mengguris hati bonda. Ayeshah tak pernah salahkan bonda dengan apa yang berlaku sehingga menyebabkan Ayeshah menghilangkan diri dari hidup bonda. Dalam tempoh itu, Ayeshah cuba menyembuhkan luka di hati. Ternyata godaan syaitan tu terlalu kuat buat Ayeshah sehingga hati Ayeshah menjadi terlalu lemah dan sentiasa berputus asa”
                Bonda tidak dapat menahan rasa sebaknya. Titisan air matanya berjaya memecahkan tembok hati nurani bonda.
                “Hai, nabi katakanlah kepada isteri- isterimu, anak perempuanmu dan isteri- isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai hijab yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.
                Ayeshah hanya ingin mempraktikkan dengan apa yang Allah firmankan melalui ayat 59 surah al ahzab. Kesedihan lalu Ayeshah cuba ubati dengan memperbaiki diri sebaik mungkin kerana Ayeshah sedar ada sesuatu yang ingin Allah tunjukkan pada Ayeshah. Maafkan Ayeshah sekiranya hijab dan niqab ini membuatkan bonda terasa asing. Salahkah Ayeshah sepert ini bonda? Adakah pemakaian niqab dan hijab seperti ini dilarang dalam al-quran?”
                Bonda tidak dapat menahan esakan tangis yang dari tadi tertahan- tahan. Tubuh Ayeshah terus dirangkulnya erat.
                “Maafkan bonda mengesyakimu bukan- bukan, nak. Bonda hanya risau sekiranya perubahanmu ini melencong jauh dari jalanNYA. Maafkan bonda”
                “Ayeshah cuba mentarbiah diri sebaik saidatina Ayeshah, bonda”
******
Pagi itu, hati Ayeshah teruji lagi. Bonda membuka sebuah kisah yang selama ini cuba dihindarinya dari mengetahui walau sedikit. Sepanjang menikmati sarapan pagi, bonda turut menghidangkannya dengan cerita abang Khairul. Baru hari itu, Ayeshah mengetahui siapa sebenarnya wanita yang dikahwini abang Khairul.
                Liana – anak tunggal Haji Ali yang sudah terlalu sebati dengan kehidupan kota. Kelincahan si anak menimbulkan kerisauan Haji Ali lantas menyuarakan hasratnya ingin menyatukan puterinya dengan abang Khairul. Atas desakan dan nasihat arwah ayah, abang Khairul akhirnya akur mengikat tali pertunangan secara senyap dengan Liana tanpa pengetahuan Ayeshah yang dicintainya. Bonda pada waktu itu hanya mendiamkan diri kerana bonda sedar akan keakraban Haji Ali dan arwah ayah.
                Namun, berita pernikahan Liana dan abang Khairul berjaya diketahui Ayeshah melalui laman social facebook apabila adik bongsu abang Khairul, yani menguar- uarkan perkara itu sehingga menyebabkan Ayeshah nekad membawa diri jauh dari keluarga angkatnya terutamanya bonda. Dalam tempoh perkahwinan yang dibina, abang Khairul cuba mengikhlaskan hati menerima Liana sebagai isteri sehinggalah kejadian malang menimpa Liana. Akibat kemalangan jalan raya, Liana disahkan tidak mampu mewariskan zuriat untuk penyeri rumahtangga mereka.
                “Abang Khairul masih menyayangi Ayeshah. Bonda yakin! Sebagai seorang suami, dia berhak menyuntingmu sebagai penyeri hidupnya. Bonda ingin menebus kesilapan arwah ayah yang memutuskan hubungan kalian. Terimalah abang Khairul kembali” Ayeshah cukup terkejut dengan permintaan bonda namun mulutnya terkunci dari meluahkan apa yang dirasakannya. Hati nuraninya memujuknya agar tidak terlalu spontan menjawab permintaan itu – ditakuti mengguris hati bonda.
                Di luar sana, kedengaran suara perempuan sedang memberi salam. Bonda terus menuju ke ruang depan rumah. Ayeshah dengan lemah membasuh tangannya di sinki lalu meninggalkan ruang makan yang dari tadi begitu menghangatkan dirinya.
                “Ayeshah..ini Liana, isteri abang Khairul” bonda memperkenalkan tamu yang hadir secara tiba- tiba di rumah bonda. Akibat permintaan bonda sebentar tadi, Ayeshah seakan diawang- awangan dan sedikit pun tidak berganjak tatkala bonda memperkenalkannya kepada Liana. Namun sebaliknya berlaku. Liana meluru ke arahnya lalu mendakapnya erat.
                “Maafkan Liana kerana menjadi penghalang Ayeshah dan abang Khairul. Sepatutnya abang Khairul bahagia bersama Ayeshah dan sekarang Allah sedang menghukum Liana,” kata Liana apabila pelukannya terlerai.
                “Semua itu dah ditakdirkan Allah. Kita hanya merancang namun ketentuannya milik Allah dan setiap yang berlaku pasti ada kebaikannya, Liana” Ayeshah cuba menghiburkan hati Liana yang turut diserang virus bersalah terhadapnya sama seperti bonda.
                “Demi kasihkan suami, Liana izinkan abang Khairul menyuntingmu Ayeshah. Terimalah abang Khairul kembali ke dalam hidupmu kerana Liana tahu jauh disudut hati abang Khairul masih ada rasa cinta buat Ayeshah” sekali lagi Ayeshah berada dalam dilema. Bonda dan Liana membuat permintaan yang sama.
******
“Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya abang Khairul adalah imam yang Engkau takdirkan buatku menuju ke syurgaMu adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya da seandainya Engkau mengetahui bahawa abang Khairul itu mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya".
                Ayeshah tersengguk- sengguk menahan sebak didada. Pandangannya berkaca- kaca mengharapkan petunjuk Maha Pengasih. Sudah beberapa malam, dia istiqomah dengan solat tahajud dan istikharah di sepertiga malam. Sejak kepulangannya dari rumah bonda yang membawa permintaan cukup besar, Ayeshah sentiasa menghabiskan sisa- sisa malamnya di atas tikar sejadah.
                “Assalamualaikum Ayeshah. Ibu ada khabar buatmu, nak” kedengaran suara ibu dihujung talian.
                “Waalaikumsalam, ibu. Ya.. apa yang ibu nak sampaikan?” Ayeshah melayani panggilan jauh dari ibu sambil membelek- belek fail yang mengandungi surat- menyurat jabatan.
                “Ayeshah kenal tak dengan Muhammad?” pertanyaan ibu membantutkan niatnya untuk terus membelek fail yang berada di hadapan matanya. Fokusnya kini lebih kepada ibu.
                “Muhammad? Yang mana satu ya, ibu. Ayeshah ramai kenalan bernama Muhammad” tiba- tiba dadanya berdegup kencang. Nama Muhammad Ariff bermain dibenaknya namun dia tidak berani bertanyakan nama itu kepada ibu, takut salah orang.
                “Muhammad Ariff bin Tajuddin. Dia rakan satu jabatan dengan Ayeshah, bukan?” spontan jemari Ayeshah kedinginan. Nama itu meniti dibibir ibu.
                “Ya, ibu! Kenapa ibu bertanya tentangnya? Ayeshah tak pernah bercerita mengenainya setakat ini kat ibu” Ayeshah cuba bersahaja mengatur bicara.
                “Dia menghantar pinangan buatmu, nak. Ibu tak kenal siapa dia seperti Ayeshah mengenalinya. Ayah menyuruh ibu bertanyakan soal ini pada Ayeshah kerana pihak mereka sedang menanti jawapan dari Ayeshah”
                ‘Ya Allah..adakah ini rahmatMu buatku?,’ bisik hati Ayeshah penuh keharuan. Ibu dihujung talian dibiarkan sepi tanpa jawapan darinya.
                “Ayeshah.. ibu tak memaksamu menerimanya, nak. Ibu hanya bertanya”
                “Bismillahirrahmanirrahim.. jika ibu dan ayah redha terhadapnya, insyaAllah tiada penolakan dari pihak Ayeshah”
                Muhammad Ariff – wajah tenang anak muda itu menghiasi ruang mata Ayeshah. Hatinya penuh rasa kesyukuran kerana Muhammad Ariff mengakhiri pencarian istikharahnya sejak beberapa malam yang lalu.
                “Asma binti Abu Bakar telah menemui Rasulullah s.a.w dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasulullah s.a.w :wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah didatangi haid tidak boleh menzahirkan anggota badannya kecuali pergelangan tangan dan wajah saja.
                Pada pandanganku sebagai seorang lelaki, kamu sememangnya secantik namamu, Ayeshah. Alangkah indahnya sekiranya kamu mengikuti suruhan baginda Rasulullah s.a.w dengan menutupi kecantikanmu dengan sebaiknya dan aku tidak redha sekiranya keindahanmu menjadi santapan lelaki yang bukan halal buatmu. Jadilah seindah saidatina Ayeshah yang begitu disayangi baginda Rasulullah” masih lagi terngiang- ngiang teguran itu ditelinganya walaupun kejadian itu telah lama berlalu. Ya, teguran itu yang menyedarkannya untuk menjadi seindah saidatina Ayeshah!

Monday, August 15, 2011

rezeki : jauhkan mazmumah

assalamualaikum wbt..

Ramadhan karim semakin meninggalkan kita. Mudah- mudahan kita semakin kusyuk dan bersungguh- sungguh menambahkan ibadah. Hari ini, saya ingin berkongsi mengenai rezeki Allah swt yang sentiasa melimpah ruah buat kita. Manusia ni adalah makhluk yang sentiasa tidak pernah merasa puas dengan apa yang dimiliki. Malah, adakalanya kelebihan insan lain juga turut menjadi penyebab timbulnya sifat mazmumah sehingga menjadi barah dalam kehidupan harian. Kesannya, terjadilah keadaan mengukur baju bukan dibadan sendiri. Jangan biarkan keadaan ini terjadi pada diri kita kerana banyak keburukannya dan kita sendiri yang rugi. Namun, cuba jadikan kelebihan rezeki yang dimiliki oleh insan- insan lain sebagai jambatan untuk kita mengingatiNYA dan menambahkan rasa takwa hanya padaNYA. Sentiasalah mengucapkan syukur atas kebahagian yang dinikmati insan lain. Jangan sesekali mengeluh dengan apa yang kita kecapi tapi sentiasalah berlapang dada dan sentiasa mengingatkan diri bahawa rezeki itu ada di mana- mana cuma hati kita masih terhijab untuk merasainya. Selain itu, untuk mendapat pulangan rezeki yang melimpah ruah, kita juga seharusnya mendidik diri menjadi pemberi yang melimpah ruah. Maksud saya di sini ialah sentiasa ringan tangan menghulurkan bantuan buat golongan yang memerlukan dengan hati yang tulus ikhlas. Bukankah rezeki di muka bumi ini adalah untuk dikongsi? ~wallahualla~


Thursday, August 11, 2011

Pengantin subuh

kala malam belum sirna
matanya segar dari lena panjang
walau kekadang ada hasutan halus
hatinya setia merayu pada sang kekasih
kerana cinta itu jua anyaman mimpi dibiar jauh
sejuknya air tidak menggugah tubuh kerdilnya
malah jiwanya besar merindui tambatan hati
sejadah kasih menjadi pelamin terindah
walau pekatnya malam masih terasa
dengkuran manusia saling meningkah
persalinan putih bersih itulah pilihan di sepertiga malam
jiwanya merayu menanti kasih maha teragung
begitulah kuatnya cinta seorang pengantin subuh


Sunday, August 7, 2011

si buta dan si pekak

assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah ya Allah kurnianMU pada ramadhan yang ke-8. Walaupun tidak seawal selalu sampai ke pejabat, namun semangat untuk beribadah di bulan mulia sentiasa berkobar. Bukankah kerja itu ibadah? So dont try to lazy bone in your working okey! Hari ini, saya ingin berkongsi cerita pengalaman yang dialami semalam.

situasi di masjid putra, seorang makcik melayu cuba menegur mak arab yang tidak menghabiskan nasi yang diambilnya semasa majlis berbuka puasa.

makcik melayu: (sambil menunjuk ke arah nasi) mumbazzirr

mak arab hanya melihat tingkah makcik melayu tanpa memahami apa yang cuba disampaikan.

makcik melayu: (sambil menunjuk ke arah nasi) no finish

kali ini mak arab tersenyum. mungkin faham ataupun merasa lucu dengan tindak tanduk makcik melayu.situasi ini membuatkan saya terfikir, apabila kita kurang menguasai bahasa asing tak kira bahasa inggeris atau sebagainya, agak sukar untuk kita berkomunikasi. Malah bagi saya, dengan penggunaan bahasa yang tidak betul juga membuatkan tanggapan orang asing kepada kita agak rendah. Jangan jadi seperti si buta dan si pekak, komunikasi dua hala yang tidak menjadi dan tidak mencapai tujuan sebenar.

Thursday, August 4, 2011

salam buat zauj

salam buat zauj ku
apa khabar imanmu di sana
adakah masih goyah ditiup bayu dunia
atau sudah kukuh dipasak di dasar hati
doaku agar imanmu membawa kesihatan
doaku agar imanmu menarik hatiku padaNYA
doaku agar imanmu memimpin jiwaku

salam buat zauj ku
wanita dinikahi kerana 4 perkara
harta, keturunan, kecantikan dan agama
andai agama pilihan hatimu
akan ku buka tanda persetujuan
kerana aku takut
andai harta pilihanmu..kelak aku miskin engkau pergi
andai keturunan pujaanmu..aku bukan bangsawan engkau hampa
andai kecantikan dambaanmu..bila usia tua mengintai engkau hambar
namun
andai agama genggamanmu..kekuranganku engkau lengkapi
beruntunglah kedua- dua tanganmu keranaNYA

salam buat zauj ku
dalam untaian istikharah aku mengintaimu
'ya ALLAH andai dia terbaik buatku
sama ada cepat atau lambat
takdirkanlah ia bagiku
permudahkanlah
berkatilah aku untuknya
namun andai dia bukan untukku
jauhkanlah aku daripadanya
dan takdirkanlah kebaikan untukku
dalam sebarang kebaikan'

salam buat zauj ku
walau ada hijab antara kita dariNYA
tanpa bayang
tanpa gurauan
tanpa renungan
andai itu takdirNYA kita akan bersama
untuk terus berjuang dijalanNYA


Luasnya pahala buat wanita

assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah ramadhan yang ke 5. Bersyukur padaNYA kerana masih mengizinkan kita terus beribadah di bulan mulia ini. Mudah- mudahan keizinanNYA membuka hati- hati kita untuk terus bersamaNYA.

Ya Allah, janganlah Engkau palingkan hati kami setelah Engkau memberikan hidayah

Tahukah kalian bahawa kasihNYA pada wanita amat luas? Mari kita lihat apa yang biasa dilakukan kaum muslimah semasa bulan ramadhan. Apabila tibanya waktu sahur, kaum isteri begitu setia mengejutkan ahli keluarganya untuk sama- sama mendapat fadhilat sahur. Tanpa rasa sesal, kaum isteri dengan kasih sayang menyediakan makanan sahur untuk seisi keluarga.

Pada siang hari pula, bagi yang tidak bekerja, menjaga anak- anak dan rumah yang diamanahkan suami. Menyiapkan anak- anak kecil yang hendak ke sekolah. Menjaga keindahan dan kekemasan rumah saban hari tanpa jemu. Pakaian yang digunakan seharian, dibasuh dan dijemur untuk keperluan keluarga.
Sebelah petang pula, kaum isteri yang sama- sama menahan lapar dahaga, masih setia menyediakan juadah berbuka puasa. Malah sanggup menyediakan juadah yang beraneka mengikut selera anak- anak dan suami.

Wahai wanita tersayang, setiap yang kalian lakukan di bulan ramadhan bukan hanya mendapat kasih sayang suami tapi turut sama mendapat ganjaran dan kasih sayang Maha Pengasih. Ingatlah kaum wanita ini amat mudah mendapat tempat di syurga namun amat mudah menempatkan diri di neraka jahim. Marilah kita sama- sama muhasabah diri untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang. Jika tidak mampu menjadi terbaik untuk orang lain, cukuplah jadi terbaik untuk diri sendiri.


Wednesday, August 3, 2011

rahmat kasihMU

assalamualaikum wbt..

Ramadhan yang ke-4! Alhamdulillah atas kasih sayangNYA. Mudah- mudahan kita semua sentiasa punya kelapangan dan kekuatan untuk terus beribadah di bulan mulia ini. Terlalu rugi sekiranya ramadhan kita biarkan berlalu tanpa sebarang pengisian ibadah. Jika setiap ganjaran kebaikan yang kita lakukan ini ditunjukkan dengan bentuk material, pasti kalian akan berlumba- lumba tapi sayang hanya mereka yang benar- benar ingin mencari redhaNYA sahaja mengimarahkan bulan barakah ini.


Alhamdulillah walaupun last minute planning, berjaya menunaikan solat terawih di masjid putra dan pertama kali berbuka di masjid. Ya Allah, terasa sebak apabila waktu berbuka bukan saya sendiri menjamah makanan tapi dengan pelbagai bangsa kaum muslimah. Terasa di bumi rantau ini tidak keseorangan. Ajaibnya kali ini, saya tidak mengharapkan makanan yang enak untuk mengisi perut kosong. keinginan untuk makan pelbagai jenis juadah jua tiada terlintas difikiran. Apa yang menjadi keinginan saya hanyalah ingin mengerjakan solat berjemaah. Ya Allah, adakah Engkau telah mencambahkan nikmat kasihMU dihati kecilku ini? Entah kenapa setiap kali melangkah ke masjid, hati seakan ingin menangis, seakan ada sesuatu ingin dikurniakanNYA. Mudah- mudahan kasihNYA buat saya dan kita semua insyaALLAH

"Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang yang tetap mendirikan solat. Ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku"  [ surah Ibrahim : 14:40]


salam ramadhan - hadad alwi ft gita gutawa


Duhai bulan yang mulia, ooh Ramadhan
Salam bagi bulan yang suci
bulan penghapus dosa

Ya Allah jadikan kami
hambaMu yang kau cinta

Bulan yang mulia
bulan Ramadhan namanya
Rindu kita tak terkira
Rindu cinta kasihNya

Lapar, haus melatih kita
Zikir, tarawih, tadarus mulia
Zakat, sedekah untuk yang papa
Tuhan ampunilah hamba

~{}~

Bulan yang mulia
bulan Ramadhan namanya
Rindu kita tak terkira
Rindu cinta kasihNya

[2X:]
Lapar, haus melatih kita
Zikir, tarawih, tadarus mulia
Zakat, sedekah untuk yang papa
Tuhan ampunilah hamba

Zakat Sedekah untuk yang papa
Tuhan ampunilah hamba

Tuesday, August 2, 2011

Anak- anak dan terawih

assalamualaikum wbt..

Apa khabar sahabat sekalian hari ini? Alhamdulillah kita berada dalam ramadhan yang ke3. Perjalanan ibadah kita di bulan mulia masih lagi panjang. Teruskan usaha untuk melipatgandakan ibadah yang membawa pahala yang juga berlipat ganda. Janganlah terlalu dangkal meletakkan dalam fikiran, puasa hanyalah menahan lapar dahaga semata daripada perkara yang membatalkannya tapi turut menahan diri dari kemaksiatan kecil mahupun besar. Janganlah biarkan puasa kita hanya sekadar menahan makan minum, sedangkan nilainya tiada. Kesannya, bulan ibadah akan terus pergi begitu saja tanpa memberi pengajaran buat kita di bulan yang lainnya.

semalam saya baru berpeluang mengerjakan solat terawih. ya Allah, syukur alhamdulillah semalam berimamkan syeikh Jebril yang diterbangkan dari mesir! kekuatan suaranya yang lunak hampir- hampir membuatkan saya menitiskan air mata pada tikar sejadah. terasa ingin menghabiskan 20 rakaat terawih namun adat orang menumpang kenalah ikut kemahuan orang tumpangkan kita. kelihatan ramai yang berebut- rebut datang ke masjid untuk mengerjakan solat terawih, pemandangan yang cukup indah!


Namun dalam keindahan ada juga cacat celanya. ramai kanak- kanak yang dibawa ke masjid oleh ibu bapa masing- masing. bagus, membawa anak kecil ke masjid untuk mendekatkan hati anak- anak dengan rumah Allah. walaupun begitu, kesilapan ibu bapa ialah membiarkan anak- anak kecil ini berkeliaran di dalam masjid sehingga mengganggu kekhusyukan para jemaah. sebaiknya bawalah anak- anak ini bersama- sama mengerjakan solat terawih dan bukannya membiarkan mereka bermain dengan sesuka hati. pendidikan awal di rumah itu penting agar anak- anak tidak terlalu bebas bermain tanpa segan silu di mana sahaja termasuklah masjid.



akhir kalam, marilah kita bersama- sama mengejar pahala berlipat ganda dengan pengabdian di bulan mulia ini. mudah- mudahan sifat mazmumah dapat digantikan dengan mahmudah. sesungguhnya rahmat Allah tak pernah jauh dari kita melainkan kita sendiri yang menjauhkan diri dariNYA. wallahuallam~~

Monday, August 1, 2011

Jangan terlalu berleter..suami tak sayang

assalamualaikum wbt..

alhamdulillah kita menemui hari kedua ramadhan al-mubarakh. Inilah nikmat kurniaanNYA buat kita semua agar mampu mengumpul pahala utk bekalan di akhirat kelak. Alangkah ruginya kita sekiranya tidak pernah memikirkan akan hari pembalasan, tetapi terus- terusan leka dengan nikmat dunia yang hanya sementara. Mudah- mudahan kita antara insan- insan terpilih mendapat rahmat dan kasih sayangNYA.

Wanita dan mulut! Cukup sinonim bukan?! Dalam sebuah rumahtangga itu sendiri pasti akan sunyi tanpa suara seorang wanita seperti masakan kurang bahan rencah. Bebelan dan leteran wanita begitu dekat dihati kita kerana wanita lebih suka bercakap berbanding kaum adam. Namun, jangan letakkan mulut kita ini lebih tinggi dari minda.


wanita jangan terlalu berleter! Tak salah berleter untuk kebaikan anak- anak dan suami. Tapi ada hadnya, jangan jadikan kebiasaan kerana suami khasnya kurang gemar mendengar leteran yang berjela- jela. Suami seorang yang diamanahkan untuk mencari nafkah semestinya penat setelah seharian berkerja, kita sebagai isteri seeloknya elakkan berleter di hadapan suami. Jangan merungut mengenai anak- anak ketika suami penat kerana kesannya, ditakuti rasa kurang senang suami diturunkan kepada anak- anak dengan  memukul atau memarahi anak- anak.

Tiada faedahnya berleter! Wanita selalunya suka meluahkan rasa kurang puas hati melalui kata- kata. Apabila sesuatu yang dilakukan suami kurang disenangi, wanita dengan mudah memperkatakan ketidakpuasannya berkali- kali hingga dianggap meleteri suami. Jangan terlalu meleteri suami kerana kemungkinan akan mencetuskan pergaduhan. Kesannya, sebarang masalah tidak dapat diselesaikan dengan sebaiknya malah cara penyampaian rasa tidak puas juga gagal. Bukankah merugikan?

wanita tersayang sekalian, marilah kita berusaha mengurangkan hobi suka berleter. Jagalah mulut dan tutur kata agar tiada hati yang terguris. Jika kita tidak suka orang meleteri kita, seharusnya kita juga mengelakkan apa yang tidak menjadi kesukaan itu dilakukan terhadap orang lain terutamanya suami. sentiasalah bercakap dengan sopan santun dan berhikmah. InsyaALLAH martabat kita sebagai wanita akan dipandang tinggi dan bukannya diperlekehkan hanya kerana MULUT.

Sunday, July 31, 2011

destinasi sebuah mimpi

assalamualaikum wbt..

sempena bulan ramadhan al mubarakh ni, saya nak post cerpen untuk perkongsian kita pada hari ini. mudah- mudahan membawa pengajaran buat kita semua insyaAllah :)


Jam dipergelangan tangannya tepat pukul 6.00 pagi. Kesejukan pagi menusuk hingga ke tulang hitam. Mujurlah sweater yang dipakai mampu menghangatkan sedikit tubuh kecilnya. Sesekali matanya melilau memerhatikan keadaan sekeliling. Kebimbangan jelas terpamer diwajah manis itu. Sesekali matanya melihat skrin handphone. Tiada sebarang pesanan dari seseorang. Sekali lagi dia mengeluh resah.
                                “Zack dah settle kan semua kat sana. Ni tiket bas pukul 7.00 pagi esok,” kata Zack petang semalam ketika datang menemuinya di hadapan pintu pagar sekolah. Tiket bas ekspress bertukar tangan.
                                “Zack pergi sekali kan?,” tanyanya sayu. Wajah anak muda pertengahan 20-an itu ditatap penuh. Seperti selalu, Zack akan mengukir senyuman terindah buatnya. Senyuman yang membuatkan tidur malamnya terganggu.
                                “Mestilah Zack pergi sama. Jangan takut, Zack faham perasaan Neesa tapi percayalah semua ni untuk kebaikan kita. Sampai bila Neesa nak biar keluarga kongkong hidup Neesa. Lambat- laun Neesa kena hidup berdikari juga,” jawab Zack yang cuba mengukuhkan tekad dihati Aneesa yang kelihatan mudah goyah.
                                “Neesa tak berani, Zack,” keluh Aneesa tunduk melihat rerumput di hujung kaki. Matanya mula digenangi air jernih. Wajah ummi dan walid terbayang satu persatu.
                                “Neesa..” Zack segera menggenggam jemari lembut Aneesa. Tangan kirinya pula menyentuh dagu Aneesa. “..Neesa sayangkan Zack kan?” Aneesa hanya mengangguk.
                                Lagu ‘Kisah hati’ berdendang dari handphone miliknya. Spontan lamunan panjangnya terputus. Dengan hati yang galau segera ditekannya punat jawab panggilan.
                                “Hello, sayang! Dah sampai stesen bas ke?” kedengaran suara Zack dihujung talian.
                                “Dah berkurun duduk kat sini,” jawab Aneesa tanda protes namun disambut dengan deraian tawa oleh Zack. Hatinya bertambah sakit.
                                “Sorry sayang, Zack dah on the way ni. Tadi ada hal sikit. Jap lagi Zack sampai, tunggu tau,” kata Zack sebelum buru- buru memutuskan talian. Aneesa mendengus kasar.
******
“Kota Kinabalu..kota Kinabalu..,” jerit seorang lelaki yang sedang berdiri di hadapan bas ekspress Tung Ma. Para penumpang mula berpusu- pusu menaiki bas ekspress. Ada juga yang sedang menyusun beg masing- masing di ruang penyimpanan barang- barang.
                                Aneesa semakin resah. Sudah beberapa kali dia cuba menghubungi Zack namun tiada sebarang jawapan. Kelibat Zack juga tidak kelihatan.
                                “Kota Kinabalu..Kota Kinabalu..”
                                Dengan hati yang berbelah bahagi, Aneesa melangkah menghampiri bas ekspress Tung Ma. Tiket yang dipegangnya diserahkan kepada konduktor bas sebelum dibenarkan masuk. Aneesa memilih tempat duduk bernombor 2C seperti yang tertera pada tiket bas.
                                ‘Kau takkan tipu aku kan, Zack?,’ desis hati kecilnya yang mula berbelah bahagi untuk mempercayai Zack atau tidak.
                                “Zack sayangkan Neesa. Sampai saja kat KK nanti, Zack dah carikan rumah dan kerja yang sesuai untuk Neesa. Zack akan bertanggungjawab terhadap Neesa” janji manis itu kembali terngiang- ngiang ditelinganya.
                                “Kau jangan jadi gila, Neesa! Camna kau boleh percaya dengan lelaki playboy tu. Nak dikata dia tu berduit, aku tengok asyik melepak je memanjang. Harap muka je handsome” wajah bundar Saidatul terpampang diruang matanya. Teman sebiliknya itu sememangnya tidak menyetujui hubungannya dengan Zack.
                                “Saidatul tu jealous sebenarnya. Dulu dia pernah ada hati kat Zack tapi Zack hanya anggap sebagai kawan biasa. Hati Zack hanya untuk Neesa je” ada saja jawapan- jawapan dari Zack untuk menepis apa jua tentangan dari sebarang pihak terhadap hubungan mereka.
                                “Aku sayangkan kau, Neesa. Aku mohon sangat- sangat agar hati kau terbuka untuk lihat kebenaran. Jangan kecewakan ummi dan walid kau. Ingat dosa dan kemurkaanNYA” itulah kata- kata terakhir dari Saidatul apabila Aneesa berkeputusan untuk memilih Zack dan rela kehilangan persahabatannya dengan Saidatul. Hatinya sudah terlalu termakan pujuk rayu Zack.
                                Aneesa membuang pandangannya ke luar. Kalau diikutkan fikiran warasnya, ingin saja dia keluar dari perut bas itu. Namun, ketakutannya mengawal mindanya. Dia pasti ummi dan walid telah mengetahui berita kehilangannya. Sudah tentu asrama puteri gempar dengan kehilangannya. Walid yang sentiasa tegas dengan anak- anak mungkin sedang menahan marah. Aneesa tidak berani menemui ummi dan walid.
                                ‘Betulkah apa yang aku lakukan ni?” hatinya mula disinggahi pertanyaan. Namun dia hanya mampu berserah apabila perlahan- lahan bas ekspress mula bergerak meninggalkan stesen bas menuju ke destinasi yang hendak dituju.
******
Wajahnya kelihatan muram. Tangan kanannya masih erat menggenggam handphone yang dari tadi sepi. Tiada sebarang berita dari Zack. Ummi dan walid sudah tentu tidak dapat menghubunginya kerana Zack telah menukar nombor yang digunakannya sebelum ini.
                                “Coklat?”
                                Aneesa memandang coklat yang dihulurkan kepadanya. Kemudian pandangannya jatuh kepada wanita muda yang duduk di sebelahnya. Ada senyuman dibibir wanita itu.
                                “Terima kasih” akhirnya dia mengambil pemberian wanita itu walaupun tekaknya seakan tidak mahu menerima sebarang makanan.
                                “Sumayyah..panggil kak Su! Adik..?” ternyata wanita muda itu berminat untuk berbual dengannya. Mungkin kebosanan melayan perjalanan yang panjang.
                                “Qairunnur Aneesa. Panggil Neesa,” jawab Aneesa dengan nada malas. Kondisinya membuatkan dia lebih suka melayan perasaan sendiri.
                                “Cantiknya nama! Seindah orangnya,” puji kak Sumayyah ikhlas. Aneesa hanya tersenyum hambar. Fikirannya melayang entah ke mana.
                                “Anak ummi ni cantik. Aneesa kena bersyukur pada yang esa kerana berikan banyak kelebihan pada Aneesa. Dahlah cantik, cerdik pula tu,” puji ummi suatu masa dulu. Aneesa tersenyum senang.
                                “Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi kan, ummi? Aneesa anak ummi, mestilah cantik macam ummi, betul tak?” ummi terus mendakapnya dengan erat. Terasa hangat kucupan ummi singgah didahinya.
                                Hati Aneesa terganggu dengan kenangan bersama ummi. Kerinduannya tiba- tiba mengusik tangkai hati. Terbayang diruang matanya akan kerisauan ummi, air mata ummi pasti tumpah mengenang kehilangannya.
                                “Dosa walaupun hanya berkata ah kepada ibu. Apatah lagi jika kita telah menyebabkan air mata ibu jatuh kerana penderhakaan yang kita lakukan,” pesanan ustazah Bahiyah terngiang- ngiang, menambahkan lagi rasa bersalah Aneesa.
******
Aneesa mengerang kesakitan. Suasana di sekelilingnya bertukar hingar- bingar. Di sana sini, dia melihat tubuh- tubuh manusia bergelimpangan dipenuhi darah merah. Isak tangisan kedengaran di merata tempat.
                                ‘Apa yang terjadi?,’ soal hatinya musykil melihat situasi yang begitu tragis dipandangannya.
                                Dia perlahan – lahan mengangkat tubuhnya yang terbaring di atas jalan tar. Kakinya melangkah sambil melihat keadaan di sekitar.
                                “Ada yang meninggal ke?,” tanya seorang anggota polis kepada seorang pegawai perubatan yang bertungkus- lumus menyelamatkan mangsa.
                                “Seorang gadis remaja,” jawab pegawai perubatan itu sambil menunjukkan tubuh kaku yang tidak jauh darinya.
                                Entah kenapa Aneesa begitu berminat dengan isi topik perbualan itu. Dengan hati berdebar, dia menghampiri tubuh kaku yang dikatakan sebagai mangsa itu. Dia melutut di sisi tubuh itu sebelum diselaknya kain yang menutupi wajah mangsa.
                                “Ya Allah!!!!” Aneesa menjauhi tubuh kaku itu. Matanya seakan tidak percaya dengan apa yang disaksikannya.
                                “Dah kenal pasti identiti mangsa?,” tanya anggota polis yang berpangkat kepada salah seorang rakan setugasnya.
                                “Qairunnur Aneesa binti Halim”
                                Perbualan singkat dua orang pegawai polis itu membuatkan Aneesa hampir  gila. Dia menangis dengan apa yang berlaku. Dipeluknya tubuh yang mula dihantui ketakutan.
                                “Apabila seseorang anak adam itu meninggal maka terputuslah segala hubungannya di dunia melainkan 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak- anak soleh. Walid harap semua anak- anak walid boleh menjadi anak- anak yang soleh kerana jika semua anak- anak walid soleh, sudah pasti semua keturunan walid juga begitu insyaALLAH” ceramah ringkas walid spontan singgah dimindanya.
                                “Walid..ummi..” Aneesa memeluk kedua belah lututnya sambil menangis ketakutan.
                                “Maafkan Neesa. Neesa berdosa pada ummi, walid. Tolong neesa, ummi..walid”

******
“Neesa..Neesa!”
                                Tubuhnya digoncang kuat. Aneesa membuka kedua belah matanya. Kelihatan wajah kak Sumayyah begitu hampir dengan dirinya. Dengan pantas, dia memalingkan tubuhnya ke bahagian belakang. Kelihatan semua penumpang masih berada di tempat duduk masing- masing. Di bahagian hadapan, driver masih setia memegang stereng bas tanpa sebarang gangguan.
                                “Astaghfirullah hal azim” Aneesa meraup wajahnya yang basah.
                                “Kenapa dik? Bermimpi ya ?,” tanya kak Sumayyah lembut. Bahu Aneesa disentuh perlahan.
                                Wajah manis kak Sumayyah dipandangnya lama. Perlahan- lahan dia mengangguk. Bayangan sebentar tadi masih jelas dimindanya. Hatinya masih lagi digayuti ketakutan.
                                “Mimpi mainan tidur. Jangan ambil pusing sangat,” kata kak Sumayyah dengan senyuman dibibir. Tangan Aneesa digenggam erat.
                                Kejadian ngeri melalui mimpi itu benar- benar mengganggunya kini. Tidak semena- mena, dia tersengguk- sengguk menahan sisa tangisan. Kak Sumayyah risau melihat keadaannya. Segera dipeluknya tubuh Aneesa.
                                “Kenapa Neesa.. ada sesuatu yang menghantui ke?” begitu lembut suara kak Sumayyah dipendengarannya. Belakang tubuhnya turut diusap perlahan- lahan. Namun Aneesa masih lagi melayan isak tangis.


******
Bas ekspress Tung Ma berhenti rehat sebentar di Ranau. Suasana yang sejuk membuatkan semua penumpang turun mencari sesuatu untuk mengalas perut. Kak Sumayyah dan Aneesa juga tidak ketinggalan.  Mereka menuju ke sebuah restoran yang didatangi oleh ramai pengunjung.
                                “Neesa duduk kat sini. Biar akak yang order” kak Sumayyah menarik kerusi untuknya sebelum berlalu pergi.
                                Aneesa masih belum mampu membuka bicara. Mulutnya seakan terkunci. Seribu penyesalan mengasak- ngasak pintu hatinya. Matanya kelihatan membengkak akibat terlalu banyak menangis.
                                “Untuk Neesa” segelas horlicks panas diletakkan di hadapan Aneesa. Sementara kak Sumayyah memilih untuk minum nesscaffe panas. Di hadapan mereka ada sepinggan kuih karipap.
                                “Kak, Neesa mimpi Neesa meninggal,” kata Aneesa perlahan- lahan. Horlicks panas itu baru sekali diteguknya.
                                “Allahu akhbar, hanya mimpi saja dik,” pujuk kak Sumayyah lalu diraihnya tangan Aneesa. Dielusnya perlahan untuk meredakan perasaan gadis muda itu.
                                “Tak kak! Itu bukan sekadar mimpi. Neesa takut, kak. Takut sangat- sangat” mata bundar Aneesa mula digenangi air hangat. Cepat- cepat kak Sumayyah mengesat air mata itu dari terus jatuh membasahi wajah Aneesa.
                                “Istighfar banyak- banyak, dik. Mungkin disebalik mimpi tu ada sesuatu yang Allah nak tunjukkan pada Neesa. Jangan fikir yang bukan- bukan”
                                “Memang ada Allah nak tunjukkan pada Neesa” Aneesa menghela nafas panjang. Pandangannya dilabuhkan sejauh mungkin.
                                “Neesa lari dari rumah kak” kak Sumayyah bulat memandang wajah muda di hadapannya. Perlahan kedengaran kalimah istighfar dimulut kak Sumayyah.
                                “Kenapa buat camni, dik? Neesa nak pergi mana? Ada keluarga tak kat Kota Kinabalu?” bertalu- talu pertanyaan keluar dari mulut kak Sumayyah namun Aneesa hanya menggeleng.
                                “Neesa takut, kak” hanya itu yang mampu diluahkannya. Kak Sumayyah terus meraih tubuh Aneesa.
                                “Kembalilah kepangkuan keluarga. Walau apa pun yang terjadi, air dicincang takkan putus. Neesa masih muda, hidup di luar ni amat bahaya. Jangan terlalu ikut perasaan, darah muda, kelak adik yang menyesal. Kesian pada ibu bapa, Neesa. Tentu dorang sedang risau sekarang ni”
                                Aneesa masih lagi dalam rangkulan kak Sumayyah. Kata- kata kak Sumayyah meresapi segenap mindanya dan menambahkan lagi rasa penyesalannya. Wajah lembut ummi bersilih ganti dengan wajah tegas walid, terbayang di ruang matanya. Terus diambilnya handphone yang diletakkan di dalam saku sweater.
******
Setelah tujuh jam berada dalam perjalanan, akhirnya bas ekspress Tung Ma sampai di destinasi. Semua penumpang berlumba- lumba keluar dari dalam perut bas. Walaupun suasana di perhentian itu lengang namun penjual tiket tidak jemu- jemu menawarkan bas ekspress yang ada. Di sebelah kanan perhentian, bas sewa sedang setia menanti penumpang yang ingin ke destinasi seterusnya  - hanya di sekitar Kota Kinabalu.
                                “Akak hantar Neesa ke airport,” kata kak Sumayyah sambil menarik tangan Aneesa menuju ke sebuah teksi yang sedang menanti.
                                Setelah memberitahu destinasi yang mahu di tuju, teksi itu bergerak pergi meninggalkan perhentian bas. Aneesa masih lagi berdiam diri. Jam tangannya dikerling sejenak. Hatinya bercampur- baur.
                                “InsyaALLAH takde apa- apa yang berlaku” kak Sumayyah cuba menenangkan gundah dihatinya. Aneesa tersenyum pahit.
                                Handphone miliknya itu masih sepi dari sebarang perkhabaran dari Zack. Anak muda itu seakan hilang dari hatinya kini. Ada penyesalan dan kekecewaan yang muncul akibat tindakan Zack yang membiarkannya keseorangan dalam perjalanan menuju ke Kota Kinabalu. Ternyata Saidatul betul. Zack hanyalah lelaki yang tidak berguna, yang gemar bermain kata- kata indah untuk membutakan hati gadis- gadis remaja sepertinya.
                                “Kita dah sampai,” bisik kak Sumayyah.
                                Dengan berat hati, Aneesa mengikuti langkah kaki kak Sumayyah. Kesejukan airport menambahkan lagi kegerunan hatinya. Wajahnya pucat menahan gundah di hati. kak Sumayyah di sebelahnya sentiasa mengukir senyum cuba menghilangkan ketakutannya.
                                “Assalamualaikum” suara yang cukup dikenalinya itu menyapa dari arah belakang.
                                “Waalaikumsalam” kak Sumayyah menyambut salam itu dengan wajah senang. Saling membalas pelukan dengan ummi. Walid hanya memandangnya dengan pandangan yang sukar dimengerti. Aneesa menikus di sisi kak Sumayyah.
******
“Maafkan Neesa, ummi..walid! Neesa berdosa,”luah Aneesa dengan linangan air mata. Tangan ummi diciumnya. Walid hanya membisu di sebelah ummi.
                                “Kenapa Neesa tekad tinggalkan kami? Tahu tak betapa risaunya ummi dan walid? Ummi rasa nak pengsan bila warden call beritahu Neesa hilang dari asrama. Kenapa buat camni, Neesa?” ummi meluahkan kerisauannya dengan nada lembut tapi tegas.
                                “Neesa salah, ummi. Maafkan Neesa”
                                “Siapa budak lelaki tu, Neesa?” tiba- tiba walid mengutarakan soalan. Dipandangnya wajah walid dengan takut- takut.
                                “Zack..lelaki yang walid nampak hari tu,” jawab Aneesa perlahan.
                Masih segar diingatannya kejadian petang itu. Walid menariknya masuk ke dalam kereta ketika menemuinya sedang berdua- duaan dengan Zack di sebuah shopping kompleks. Petang itu juga walid menamparnya buat pertama kali dan mengeluarkan arahan untuk tidak menemui Zack lagi.
                                “Apa keistimewaan budak Zack tu?” walid menghela nafas panjang. Wajahnya keruh. Aneesa terus mendekati walid.
                                “Neesa salah, walid. Maafkan Neesa, Neesa janji takkan buat camni lagi. Walid hukumlah Neesa, Neesa rela” diciumnya tangan walid dengan linangan air mata penyesalan.
                                “Neesa muda lagi. Sepatutnya menghabiskan waktu dengan belajar, bukannya bertindak diluar akal fikiran dengan meninggalkan keluarga. Nasib baik Sumayyah ada, kalau takde..kat mana kami nak cari Neesa? Macam- macam benda buruk boleh jadi,” keluh walid yang begitu menyesal dengan tindakan Aneesa.
                                “Zack kat mana? Macam mana Neesa boleh datang sendiri kat sini?” ummi pula mengajukan pertanyaan.
                                “Zack tak datang seperti yang dia janji. Neesa tak tahu kenapa”
                                “Polis dah tahan dia pagi tadi” Aneesa dan ummi serentak memandang wajah walid. Tangan walid menyentuh pipi Aneesa.
                                “Zack tu bapa ayam. Dah ramai gadis remaja yang dipikatnya dan dijual ke rumah pelacuran. Nasib baik polis berjaya menghidu penyamarannya. Lelaki camtu ke Neesa nak bergantung harap?”
                                Aneesa rasa terpukul dengan kata- kata walid. Tanpa memikirkan mata- mata di sekitarnya, Aneesa terus mendakap tubuh walid. Air matanya tumpah lagi.
                                “Neesa derhaka pada walid dan ummi. Neesa benar- benar menyesal”
                                Walid yang dari tadi menahan kemarahan di hatinya mula terpujuk dengan tangisan Aneesa. Walid pasti Aneesa telah menyesal. Ummi turut menangis melihat kesedihan Aneesa namun jauh disudut hati, ummi bersyukur akhirnya mereka dipertemukan dengan Aneesa.
                                “Neesa jangan buat camni lagi ye, nak” ummi pula memeluknya setelah pelukannya pada walid terlerai. Aneesa hanya mampu mengangguk.
                                Adegan mereka menjadi tatapan mata yang berada di ruang berlepas. Namun Aneesa tidak menghiraukan semua itu. Apa yang penting, dia kembali kepada walid dan ummi. Aneesa memanjatkan rasa syukur kepadaNYA kerana terlepas dari bala yang mungkin dia tidak tahu azabnya. Hatinya terus membuang nama lelaki yang memberinya cinta walaupun hanya sementara. Aneesa menganggap semua itu mimpi buruk malah lebih buruk dari mimpi yang dialaminya dalam perjalanannya tadi.

Thursday, July 28, 2011

HUJAN~ rahmat rezeki atau pembalasanNYA?

assalamualaikum wbt...

Salam jumaat untuk semua! Hujan lebat hari ni. Walaupun basah kuyup, sentiasa bersyukur akan kurnianNYA menurunkan hujan di pagi hari expecially on friday. Jika dulu, pasti mengomel tak puas hati kenapa hujan turun pagi hari? kenapa jalan berlopak? kenapa dan banyak lagi kenapa? Hujan adalah nikmat rezeki dari yang maha esa namun jarang yang mensyukuri. Melalui hujan, Allah swt menurunkan rezeki buat umat manusia. Cuba bayangkan jika hujan tidak turun, kemarau berpanjangan akan terjadi. Semua tanam- tanaman tidak menjadi, bekalan air semulajadi semakin sedikit, tumbuh- tumbuhan yang setia memproses udara bersih untuk kita juga akan mati. Waktu tu, baru nak tercari- cari cara bagaimana nak dapatkan hujan dan cara penyelesaiannya. It's normal for human being right?! Tak pernah rasa puas hati dengan apa yang dikurniakanNYA. Marilah kita semua menadah tangan memohon doa agar DIA sentiasa menyayangi kita, memberikan kita rezeki untuk meneruskan kebajikan dan melindungi kita dari sebarang keburukan duniawi. Apa yang bermain difikiran kala ini, takut sekiranya hujan yang DIA turunkan bukanlah kasih sayangNYA tapi kemurkaanNYA. Itulah satu tanda- tanda akan tibanya hari pembalasan. Wallahuallam~~